Pages

Tuesday, November 22, 2011

Amir Kuwait tidak akan pecat Perdana Menteri


Penunjuk perasaan mengibarkan bendera sambil berdiri di atas meja Speaker Parlimen Kuwait pada 16 November lalu. - REUTERS


KUWAIT CITY 21 Nov. - Amir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah menegaskan, beliau tidak akan tunduk kepada tuntutan penunjuk perasaan yang mendesak agar Perdana Menteri dipecat dan Parlimen dibubarkan.

Beliau turut menyifatkan tindakan menyerbu Parlimen oleh pembangkang minggu lalu sebagai 'hari hitam' dalam sejarah negara.

"Apa yang berlaku amat luar biasa. Hari di mana Ahli-ahli Parlimen dan penunjuk perasaan menyerbu Parlimen adalah 'hari hitam' buat kita," katanya semasa bertemu editor-editor dalam ulasannya yang diterbitkan hari ini.

Aktivis muda diketuai Ahli Parlimen pembangkang menyerbu Parlimen Kuwait Rabu lalu selepas bertempur dengan polis semasa satu perhimpunan yang menuntut pembubaran Kabinet serta pemecatan Perdana Menteri, Sheikh Nasser Mohammad al-Ahmad Al-Sabah atas dakwaan rasuah.

"Berdasarkan Perlembagaan, saya yang melantik dan memecat Perdana Menteri serta menteri-menteri.

"Walaupun jika saya mahu beliau (Sheikh Nasser) meletak jawatan, saya tidak akan lakukannya kerana desakan pihak pembangkang," katanya seperti yang dipetik akhbar Al-Jarida.

Sheikh Nasser yang juga ahli keluarga pemerintah, didesak meletak jawatan ekoran dakwaan rasuah serta tuduhan beliau memindahkan dana awam ke akaunnya di luar negara, dua dakwaan yang dinafikan kerajaan.

Di bawah undang-undang Kuwait, Amir mengetuai Parlimen, kerajaan dan badan kehakiman negara. Amir juga mempunyai hak mutlak untuk melantik serta memecat anggota Kabinet dan membubarkan Parlimen.

Sheikh Sabah berkata, kira-kira 40 individu termasuk Ahli Parlimen bakal dikenakan tindakan undang-undang kerana menyerbu Parlimen dan beliau berikrar mereka yang terlibat tidak akan diampunkan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment