Pages

Wednesday, November 2, 2011

Amerika hukum UNESCO

2011/11/02

Tarik balik pembiayaan RM184 juta kerana izin Palestin jadi ahli

NEW YORK: Amerika Syarikat bertindak menarik balik dana tahunan untuk agensi ekonomi, kebudayaan dan pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai hukuman terhadap badan dunia itu kerana memberi keanggotaan penuh kepada Palestin meskipun turut dibantah Israel dan Eropah.
Sebanyak 107 anggota UNESCO menyokong untuk menerima Palestin sebagai anggota penuh, keputusan yang disambut sorakan kuat delegasi antarabangsa di Paris. Sebanyak 52 wakil negara lain termasuk United Kingdom, memutuskan untuk tidak mengundi.

Dalam masa beberapa jam, Amerika mengumumkan ia menghentikan sumbangan besarnya kepada bajet UNESCO berikutan keputusan undian berkenaan.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Victoria Nuland, berkata Washington tidak mempunyai pilihan disebabkan undang-undang berusia 21 tahun melarang bayaran dana kepada mana-mana badan PBB yang menerima Palestin sebagai anggota penuh.

Penyerahan dana AS$60 juta (RM184 juta) yang dijangka dibuat lewat bulan ini digantung, langkah yang memberi tamparan hebat kepada agensi itu. Amerika menyumbang 22 peratus daripada bajet tahunan UNESCO.
“Keputusan UNESCO dikesali, tidak matang dan memandang rendah matlamat yang dikongsi untuk mencapai keamanan menyeluruh, adil dan berpanjangan antara penduduk Palestin dan Israel,” dakwa Nuland.

Israel turut memberi petanda memberi hukuman berat kepada agensi PBB itu. Kementerian Luarnya mengeluarkan kenyataan untuk menimbang kerjasama berterusan dengan UNESCO.

Duta rejim Zionis itu ke UNESCO, Nimrod Barkan, menyifatkan undian itu sebagai satu tragedi.

Tetapi, pegawai Palestin yang menyifatkan undian itu satu peristiwa bersejarah, nyata gembira dengan keputusan agensi berkenaan.

“Undian itu akan menghilangkan sedikit ketidakadilan yang dibuat kepada penduduk Palestin,” kata Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki, di Paris.

Sokongan berkenaan membolehkan Palestin menyertai agensi PBB itu, suntikan besar kepada kempen mendapatkan pengiktirafan antarabangsa sebagai negara merdeka, dan menjadi tamparan hebat kepada Israel dan Amerika yang membantah langkah itu.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, berkata undian itu sebenarnya mewakili sokongan kepada kebebasan dan keadilan.

Dalam kenyataan kepada Wafa, Abbas berkata: “Undian ini adalah demi keamanan dan mewakili persetujuan sebulat suara antarabangsa menyokong hak kedaulatan penduduk Palestin, yang paling penting penubuhan negara merdeka.”
Sebahagian perwakilan juga mengutuk reaksi Amerika.

“Reaksi mereka seolah-olah seperti kami meminta untuk diterima menjadi ahli al-Qaeda,” kata pegawai kanan Palestin, Nabil Shaath, sebelum undian. – Agensi Berita Harian Online | Amerika hukum UNESCO:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment