Pages

Sunday, November 13, 2011

3 lelaki maut, 2 wanita hamil parah



ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan Man Shut Kyi yang tersepit selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 20.8, Jalan Alor Setar-Sungai Petani, Bukit Besar, Yan, semalam. - MINGGUAN/KAMAL BASIR


YAN 12 Nov. - Tiga lelaki maut manakala dua wanita warga Myanmar yang sedang hamil parah apabila sebuah kereta dinaiki empat orang merempuh seorang pejalan kaki sebelum terbabas di Kilometer 20.8, Jalan Alor Setar-Sungai Petani berhampiran Bukit Besar di sini, awal pagi ini.

Mereka yang maut dalam nahas pukul 2.45 pagi itu ialah pemandu Proton Satria Neo, Eiew Eng Khoon, 29; penumpang sebelahnya, Ooi In Too, 47, dan pejalan kaki yang belum dikenal pasti identitinya.

Dua lagi penumpang kereta yang merupakan wanita warga Myanmar, Lee Pa Mei, 30, dan Man Shut Kyi, 31, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, dekat sini.

Pa Mei disahkan hamil empat bulan manakala Shut Kyi mengandung lima bulan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ismail Abu berkata, kejadian berlaku apabila sebuah kereta dari arah Alor Setar menghala Sungai Petani merempuh seorang pejalan kaki sewaktu melalui lokasi kejadian.

Akibat rempuhan itu, katanya, pemandu kereta tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh sebatang pokok menyebabkan mangsa dan penumpang hadapan tersepit di dalam kereta.

"Tiga lelaki termasuk pejalan kaki itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala," katanya di sini, hari ini.

Menurut Ismail, polis belum mengenal pasti identiti pejalan kaki tersebut kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui padanya, namun mangsa dipercayai berketurunan Melayu.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian termasuk sama ada pemandu berada di bawah pengaruh alkohol.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi kejadian agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di 04-4655222 dan mereka yang kehilangan ahli keluarga juga diminta berbuat demikian.

Sementara itu, bapa kepada Eng Khoon, Eiew Gin Geok, 53, memberitahu, dia keluar mencari anaknya itu di sekitar Sungai Limau di sini apabila mangsa tidak tiba di rumah walaupun anaknya itu memaklumkan sedang dalam perjalanan pulang ketika dihubungi kira-kira 45 minit sebelum kejadian.

"Semasa sedang mencarinya, saya melihat satu kemalangan dekat Bukit Besar dan amat terkejut melihat mangsa yang terlibat adalah anak saya bersama tiga yang lain," katanya yang mengakui tidak mengetahui hubungan antara anaknya dengan warga Myanmar tersebut.

Sementara itu, anak kepada In Too, Ketty Ooi Zi Qian, 24, pula memberitahu, mendiang bapanya telah berpisah dengan ibunya beberapa tahun lalu dan tinggal bersama dengan salah seorang warga Myanmar yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment