Pages

Friday, November 4, 2011

2.5 juta menuju Mina

JEDDAH: Kebanyakan daripada 2.5 juta jemaah haji bertolak ke Mina yang terletak lima kilometer di timur Makkah malam tadi sebagai permulaan ibadah haji. Sementara selebihnya akan menuju bandar raya khemah itu, hari ini.
Kerajaan Saudi sudah menyediakan semua persiapan untuk perhimpunan umat Islam terbesar itu bagi memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah terpelihara. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Putera Mahkota Naif sudah membuat pemeriksaan ke atas persiapan haji, Selasa lalu. Lebih 1.8 juta jemaah sudah tiba dari pelbagai pelusuk dunia Islam untuk menunaikan haji, rukun Islam kelima yang wajib dilakukan setiap umat Islam yang sihat dan berkemampuan sekali seumur hidup. Mereka akan disertai lebih 500,000 jemaah tempatan, termasuk warga asing di negara itu.

Majoriti jemaah yang menunaikan ibadat haji buat kali pertama amat gembira mendapat peluang keemasan itu. Mereka berulang kali melaungkan talbiah ‘Labbaik Allahumma Labbaik’ (Wahai Tuhan, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu).

Pada tahun ini, jemaah berpeluang menggunakan khidmat kereta api Mashair yang beroperasi sepenuhnya menghubungkan tempat suci di Mina, Arafah dan Muzdalifah. Khidmat kereta api itu memberi perubahan besar dalam sistem pengangkutan jemaah haji apabila mampu membawa lebih satu juta orang ketika waktu puncak haji. Sebanyak 3,000 bas yang beroperasi tanpa henti juga akan membawa jemaah Iran dan Afrika.

Berikutan kempen media secara besar-besaran dilakukan kerajaan, bilangan jemaah yang mencuri masuk ke tempat suci tanpa permit haji dan menduduki tempat awam secara haram dapat dikurangkan berbanding tahun sebelumnya.

Pihak berkuasa tidak membenarkan lebih 50,000 jemaah haram dalam musim haji tahun ini. Jemaah haram menjadi masalah besar kepada syarikat pengurusan haji.

No comments:

Post a Comment