Pages

Wednesday, October 12, 2011

Tangisan iringi Rain jalani khidmat negara



RAIN memberi tabik hormat di depan para peminatnya di luar sebuah latihan tentera di Uijeongbu, utara Seoul semalam.- Reuters


SEOUL - Ratusan peminat dari China, Jepun dan Malaysia menangis dan bersorak di luar bandar raya ini semalam bagi memgucapkan selamat jalan kepada penyanyi pop Korea Selatan, Rain yang menjalani perkhidmatan ketenteraan.
Rain yang nama sebenarnya, Jung Ji-hoon merupakan sebahagian daripada gelombang drama Korea dan muzik yang melanda Asia sejak dekad lalu.
Album ketiganya, It's Raining dijual satu juta unit di Asia selepas ia dikeluarkan pada 2004.

DUA peminat menangis semasa berhimpun di luar sebuah pusat latihan tentera di Uijeongbu, utara Seoul semalam. - Agensi


"Amat sedih kerana Rain akan pergi (menjalani perkhidmatan ketenteraan) selama dua tahun," kata seorang peminat dari Jepun, Sachiko yang datang ke Korea Selatan untuk menyaksikan konsert terakhir penyanyi tersebut dan menjadi saksi dia memasuki perkhidmatan ketenteraan.
"Saya pasti, semua peminatnya di Jepun mahu berada di sini hari ini. "Justeru, kami mahu memastikan kami melihatnya pergi," tambahnya.
Selain muzik, Rain membina kerjayanya dalam filem dan memulakan kariernya di Hollywood menerusi satu watak kecil dalam filem Speed Racer.
Dia pernah menjadi pelakon utama dalam filem kedua Hollywoodnya, Ninja Assassin yang menyebabkan dia memenangi anugerah daripada MTV.

RATUSAN peminat mengerumuni pintu masuk sebuah pusat latihan tentera di Uijeongbu, utara Seoul untuk melihat Rain semalam. - Agensi


Rain yang merupakan pemenang undian majalah Time pada 2006, 2007 dan 2011 akan menjalani perkhidmatan kerahan tentera selama 21 bulan dalam pasukan tentera Korea Selatan.
"Terima kasih kerana menyayangi saya dengan amat sepenuhnya sejak 10 tahun lalu.
"Selamat jalan dan saya akan kembali," kata Rain kepada para peminatnya.
Penyanyi itu yang dikenali ramai dalam drama Secret Garden menarik perhatian ribuan peminatnya apabila dia menandatangani perkhidmatan ketenteraan pada tahun ini.
Penyanyi berusia 28 tahun itu ditempatkan di sebuah pulau di sempadan Korea Utara yang tegang yang secara teknikalnya berperang dengan Korea Selatan selepas Perang Korea tamat pada 1953 dengan satu perjanjian gencatan senjata.- Reuters

No comments:

Post a Comment