Pages

Friday, October 28, 2011

Saif al-Islam mahu serah diri kepada ICC



TRIPOLI 27 Okt. - Anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif al-Islam yang pernah berikrar akan berjuang sampai mati di bumi Libya, kini mahu menyerah diri kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan mengelak kemungkinan ditimpa nasib yang sama seperti bapanya.
Seorang pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya semalam berkata, Saif yang merupakan satu-satunya anak Gaddafi yang masih bebas bercadang untuk menyerah diri kepada ICC di The Hague, yang telah mendakwanya atas tuduhan jenayah perang.
Tindakan Saif, 39, menyerah diri akan menutup satu lagi babak dalam sejarah empat dekad pemerintahan keluarga Gaddafi, sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membincangkan usul untuk menamatkan mandat Libya yang membolehkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara mengebom negara ini dan membantu pemberontak merampas kuasa.
Beliau dilihat oleh banyak pihak sebagai anak kesayangan Gaddafi dan bakal penggantinya.
Saif ingin menyerah diri kepada ICC bersama-sama bekas ketua agensi perisikan, Abdullah al-Senussi, kata pegawai NTC, Abdel Majid Mlegta.
ICC mendakwa Gaddafi, Saif dan Senussi atas peranan mereka menggunakan kekerasan untuk menghancurkan pemberontakan yang bermula pada Februari lalu.
Namun jurucakap ICC berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan sebarang rancangan Saif untuk menyerah diri.
Pegawai NTC berkata, Saif bersembunyi di gurun selatan Libya setelah gagal mencari perlindungan di negara jiran seperti Algeria atau Niger, yang telah menawarkan perlindungan kepada empat lagi anak Gaddafi yang terselamat dalam perang saudara selama lapan bulan itu. - Reuters

No comments:

Post a Comment