Pages

Saturday, October 22, 2011

Rayu bawa pulang


PAH Zain Fatimah Mohd. Noor tidak dapat menahan sebak apabila bercakap dengan anak sulungnya, Azhlina Azmi yang berada di Kalimantan Timur, semalam.


MACHANG 21 Okt. - Seorang wanita yang lari mengikut kekasih ke Indonesia kira-kira tiga tahun lalu merayu pihak berkuasa Malaysia supaya membantu membawanya pulang ke pangkuan keluarga di Kampung Bukit Tiu, di sini.

Azhlina Azmi, 23, ketika dihubungiUtusan Malaysia mengaku menyesal dengan tindakannya itu dan berharap dapat kembali semula ke pangkuan keluarganya kerana kehidupan yang dilaluinya kini amat memeritkan.

"Saya memang menyesal ke Indonesia. Saya sudah berkahwin dan kini mempunyai seorang anak berusia tiga tahun. Saya tiada wang untuk buat pasport dan membeli tiket penerbangan balik ke Malaysia. Saya dan suami memang mahu balik ke Malaysia pada bila-bila masa sekiranya ada pihak yang membantu.

"Suami saya bekerja di ladang sawit, gaji tidak sampai RM15 sehari, wang yang ada hanya cukup untuk menampung makan minum kami sekeluarga," katanya yang bercakap dalam bahasa Indonesia sambil menangis.

Azhlina dan suami yang dikenali sebagai Salleh Jaafar, kini tinggal di rumah kongsi di kawasan ladang kelapa sawit milik sebuah syarikat dari Singapura di Desa Kebun Agung Rantau Pulung, Balik Papan, Kalimantan Timur.

Pada 4 Mei lalu, akhbar ini melaporkan bapa Azhlina, Azmi Sulaiman, 50, merayu agar pihak berkuasa membantu membawa pulang anak perempuan sulungnya itu yang didakwa dilarikan oleh seorang pemuda dari Lombok, Indonesia sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, Azmi ketika ditemui sekali lagi merayu kepada pihak berkuasa supaya membantu anaknya pulang semula ke pangkuan keluarga.

"Saya merayu kepada sesiapa sahaja terutama pihak berkuasa supaya tolong bawa pulang Lina. Saya bukannya orang senang yang boleh pergi ke sana untuk mengambil mereka pulang.

"Ini kali keempat saya membuat rayuan melalui media massa, tolong kami, isteri saya sudah kering air mata mengenangkan nasib anak di sana yang entah cukup makan atau tidak," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Machang, Azman Ghazali yang melawat keluarga tersebut berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk membantu keluarga tersebut membawa pulang Azhlina.

"Kita telah merujuk kes ini kepada Biro Aduan Awam Pemuda UMNO pada Mei lalu dan sekarang masih menunggu maklum balas daripada biro tersebut kerana proses untuk membawa pulang Azhlina bukannya satu perkara mudah dan memerlukan kerjasama antara kerajaan.

"Saya melihat proses untuk membawa pulang Azhlina lebih mudah kerana dia berada di Kalimantan, lebih dekat dengan Malaysia," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment