Pages

Friday, October 28, 2011

Polis Mesir bunuh pemuda terima hukuman ringan



KAHERAH 27 Okt. - Dua anggota polis Mesir yang membelasah seorang lelaki sampai mati, dalam kes yang mencetuskan pemberontakan rakyat negara ini, hanya dikenakan hukuman penjara tujuh tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan lebih ringan iaitu membunuh tanpa niat.
Keputusan mahkamah semalam mengecewakan aktivis prodemokrasi tetapi ahli keluarga kedua-dua defendan, Mahmoud Salah dan Awad Ismail Suleiman tetap berang dengan hukuman penjara tujuh tahun yang dijatuhkan ke atas setiap anggota polis itu.
Mereka memecahkan bangku di bilik mahkamah di bandar pelabuhan Iskandariah serta menyerang bapa saudara dan peguam mangsa di hadapan askar dan anggota polis yang berkawal.
Aktivis prodemokrasi kecewa bukan sahaja dengan keputusan itu tetapi juga kerana perbicaraan ditutup kepada orang awam.
Mereka melihatnya sebagai tanda pemberontakan yang menyingkirkan Presiden Hosni Mubarak pada Februari lalu tidak memberi banyak kesan kepada usaha menghapuskan budaya rasuah yang mendalam di Mesir.
Lelaki yang dibunuh oleh polis itu, Khaled Said, 28, dilihat sebagai versi Mesir bagi pemuda Tunisia, Mohammed Bouazizi yang bertindak membakar dirinya sehingga mencetuskan revolusi di negara itu serta pemberontakan rakyat di dunia Arab.
Dalam kejadian pada 6 Jun 2010, dua anggota polis berpakaian biasa mengheret Said keluar dari sebuah kafe Internet di Iskandariah dan menghentak kepalanya ke tangga marmar sehingga mati.
Gambar Said dengan wajah berlumuran darah, tulang rahang patah dan tubuh lebam-lebam disiarkan secara meluas dan mendorong kempen aktivis menentang intimidasi dan pembunuhan oleh polis pada zaman Mubarak.
Laman Facebook yang diwujudkan sebagai memperingati Said digunakan untuk menyeru rakyat mengadakan protes besar-besaran pada 25 Januari lalu, yang kemudian merebak menjadi pemberontakan selama 18 hari yang berakhir dengan penggulingan Mubarak. - Agensi

No comments:

Post a Comment