Pages

Monday, October 31, 2011

Penghuni ketujuh bilion lahir hari ini



NEW YORK 30 Okt. – Penghuni dunia yang ketujuh bilion dijangka lahir esok.
Kebanyakan negara di dunia sedang bersiap sedia meraikannya dengan mengadakan majlis sambutan serta pelbagai acara keramaian.
Namun, bagi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon (gambar), kegembiraan tersebut bukanlah perkara yang ‘menyenangkan’.
“Tidak kira sama ada bayi yang bakal dilahirkan itu perempuan atau lelaki, dia bakal berdepan dengan percanggahan dunia.
“Kita memiliki jumlah makanan yang banyak, namun masih terdapat golongan manusia yang tidur dalam keadaan lapar setiap hari,” katanya pada sesi wawancara dengan majalah Times.
Pada 12 Oktober 1999, bayi lelaki warga Bosnia yang diberi nama Adnan Mevic menjadi penghuni keenam bilion dunia.
Keluarga bayi tersebut, bagaimanapun kini berdepan dengan masalah kemiskinan di Sarajevo.
“Kelahiran bukan menceritakan mengenai nombor, namun ia tentang kehidupan.
“Tujuh bilion manusia memerlukan bekalan makanan yang mencukupi, bekalan tenaga, peluang pekerjaan dan pendidikan serta hak kebebasan termasuk membesarkan anak-anak dalam keadaan yang aman dan selamat,” katanya kepada sebuah sekolah di sini pada minggu lepas.
Sehubungan itu, pemimpin badan dunia itu, akan membawa isu mengenai pertambahan populasi dan krisis ekonomi dunia ke Sidang Kemuncak Kumpulan 20 di Perancis pada minggu depan bagi mengelak berlaku kejadian protes seperti di negara-negara Arab.
“Protes yang berlaku disebabkan ekonomi tidak stabil dan kelemahan pentadbiran sesebuah negara,” katanya dalam surat yang dihantar kepada kumpulan pemimpin yang bakal menyertai sidang tersebut pada 3 dan 4 November ini. – AFP

No comments:

Post a Comment