Pages

Saturday, October 22, 2011

‘Orang Besar’ Afrika paling lama tumbang

BEKAS pemimpin Libya, Muammar Gaddafi orang terbaru yang tersingkir daripada senarai apa yang digelar ‘Orang Besar’ di Afrika, kumpulan pemerintah kuku besi yang semakin sedikit bilangannya dan mendapati semakin sukar untuk terus berkuasa.

Meskipun kematian Gaddafi, sebahagiannya akibat campur tangan luar, tekanan dalaman daripada penghuni bandar yang meningkatkan tuntutan sehingga memaksa perubahan politik lebih luas di benua itu.


Pilihan raya di beberapa negara Afrika baru-baru ini menunjukkan mereka boleh menggantikan rampasan kuasa sebagai jalan untuk menggulingkan pemimpin yang sudah tidak dialu-alukan lagi.

“Ia adalah kotak undi, bukan peluru yang memberi kesan kepada perubahan politik di Afrika. “Apa yang berlaku ialah berterusan tekanan dari dalam,” kata Tara O’Connor dari Konsultan Risiko Afrika yang berpusat di London. Mati dibunuh pemberontak yang disokong negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang menawan Sirte, bandar kelahirannya Khamis lalu, Gaddafi berada di tempat teratas senarai pemimpin Afrika paling lama memerintah, 42 tahun.


Ia meletakkannya di atas Presiden Teodoro Obiang Nguema Mbasogo, pemimpin negara pengeluar minyak, Equatorial Guinea di tengah Afrika yang pemerintahannya kini memasuki tahun ke-32, Jose Eduardo dos Santos yang memimpin Angola untuk tempoh yang sama dan Robert Mugabe, yang menjadi Presiden Zimbabwe sejak 31 tahun lalu.


Kelab Lebih Dua Dekad itu sudah pun kehilangan dua anggotanya, kesan daripada Kebangkitan Arab yang menyaksikan Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali dan Presiden Mesir, Hosni Mubarak, tumbang.

Di selatan Sahara, desakan perubahan tidak begitu menarik dan sebahagian pemerhati sangsi ia berlaku.


Presiden Burkina Fasa, Blaise Compaore, melanjutkan pemerintahannya untuk tahun ke-24 April lalu apabila mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya negara itu. Keputusan awal dalam pilihan raya Cameroon bulan ini, menunjukkan Paul Biya akan terus berkuasa untuk tahun ke-29. Kemenangan kedua-dua pemimpin itu di negara masing-masing berpunca daripada kelemahan pembangkang, dakwaan salah laku dan pengundi yang yakin undi mereka tidak akan membawa sebarang perubahan, satu keadaan memihak kepada penyandang yang menguasai semua bentuk jentera kerajaan.

Aktivis demokrasi Ghana, George Ayitteh berkata, pemerintah kuku besi berupaya meneruskan pemerintahan mereka dengan menguasai enam institusi penting - pasukan keselamatan, media, perkhidmatan awam, Parlimen, kehakiman dan suruhanjaya pilihan raya.


Bagaimanapun, daripada enam itu, menurut Pengarah Yayasan Afrika Bebas yang berpusat di Washington, Ayitteh, media semakin terlepas daripada cengkaman pemimpin seumpama itu kerana perkembangan stesen radio FM milik peribadi serta peluasan penggunaan Internet, khususnya di kawasan bandar raya.


“Sukar bagi mereka mengawal Internet sementara radio menjadi medium paling berpengaruh di Afrika. Ia akan menjadi lebih sukar bagi mereka untuk mengekalkan kuasa,” kata Ayitteh. Keruntuhan Tembok Berlin pada 1989 dan perpecahan Soviet Union menamatkan peranan Afrika sebagai proksi dalam sengketa Perang Dingin dengan kuasa besar menyokong diktator yang menuruti ideologi mereka.


Perubahan dalam dasar Perancis juga membawa kepada pemerintah sedia ada di bekas tanah jajahannya tidak lagi menikmati sokongan automatik daripada Paris. Ini berlaku kepada Laurent Gbagbo, pemimpin Ivory Coast, April lalu, apabila dia membenarkan pasukan keselamatannya menembak penunjuk perasaan yang menyebabkan dia digulingkan tentera pemberontak dengan sokongan tentera Perancis.


Ketika saki baki ‘orang besar’ sudah menjangkau usia 70-an, lebih separuh daripada lebih satu bilion penduduk Afrika berumur bawah 25 tahun dan dalam kebanyakan kes, tidak tahu apa-apa kecuali kehidupan di bandar raya, kata O’Connor.


“Pembandaran memusnahkan kesetiaan tradisi suku kaum. Faktor utama kini ialah tuntutan pekerjaan, kesihatan dan perumahan, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap ahli politik.


Tekanan itu sudah pasti lebih hebat jika tidak kerana perpecahan dalam kalangan pembangkang di kebanyakan negara Afrika. Mereka gagal mengetepikan sengketa untuk membentuk pakatan yang lebih kukuh. Pemimpin Cameroon, Paul Biya, sebagai contoh, berdepan dengan 20 penentang. Baik O’Connor mahupun Attiyeh, mengaku lebih banyak masa diperlukan bagi pembangkang membentuk pakatan yang berwibawa di beberapa negara. Mereka bagaimanapun berkata, tidak seperti dua dekad lalu, pemulauan pilihan raya secara menyeluruh sehingga membolehkan penyandang jawatan menang percuma, kini jarang berlaku.


Pilihan raya yang agak lancar di Nigeria dan Zambia, yang bulan lalu membawa kepada pemimpin pembangkang, Michael Sata mengangkat sumpah, menawarkan kepada rakyat Afrika bukti mereka boleh menumbangkan pemimpin yang dilihat gagal melaksanakan tugas mereka.


Attiyeh berkata, Kebangkitan Arab, walaupun tidak merebak jauh ke selatan, mewujudkan rasa tidak sabar ramai warga Afrika untuk menyaksikan perubahan yang beberapa tahun akan datang mungkin membawa kepada pertelagahan antara mereka dan saki-baki pemimpin lama. “Perjalanan yang akan dilalui tidak semestinya lancar,” katanya. - Reuters

myMetro | ‘Orang Besar’ Afrika paling lama tumbang:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment