Pages

Friday, October 28, 2011

Ibu kota Thailand 'dikepung' air bah



SEBUAH jeti yang rosak dilihat terapung di Sungai Chao Phraya. Banjir besar yang melanda memaksa pihak berkuasa Thailand mengarahkan penduduk supaya keluar dari Bangkok.-Reuters


BANGKOK - Puluhan ribu orang membanjiri stesen bas dan lebuh raya dalam usaha meninggalkan ibu kota Thailand, Bangkok ketika situasi banjir di sini semakin meruncing dengan arahan perpindahan pertama telah dikeluarkan.
Kota metropolis yang dihuni sembilan juta orang itu kini dikelilingi air banjir.
Setakat ini, banjir yang melanda Thailand sejak Julai lalu telah mengorbankan 373 orang di seluruh negara dengan kerugian mencecah berbilion-bilion dolar. Lapangan Terbang Don Muang iaitu lapangan terbang kedua terbesar di sini turut ditutup akibat banjir.
Setakat semalam, kebanyakan kawasan di Bangkok masih belum ditenggelami air. Namun, warga kota dilihat giat melakukan persediaan ekoran banjir kali ini yang tidak dapat dielakkan.
Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra berkata, penduduk di dua daripada 50 daerah di sini iaitu Don Muang and Bang Phlat sudah diarah berpindah.
Kedua-dua daerah tersebut kini ditenggelami air banjir.

SEORANG lelaki mengayuh sebuah sampan ketika mengharung banjir di tengah-tengah kota Bangkok.-AFP


"Ini kali pertama saya menggunakan perkataan berpindah. Ini juga kali pertama saya meminta anda semua supaya beredar ke tempat lebih selamat," kata Sukhumbhand.
Di tempat-tempat lain di Bangkok, ribuan penduduk membanjiri terminal bas Mo Chit untuk meninggalkan bandar raya tersebut.
Kebanyakan mereka mengambil kesempatan cuti umum lima hari yang diisytiharkan oleh kerajaan bagi mengelakkan orang ramai terperangkap dalam banjir.
Cuti umum berkenaan yang bermula semalam hingga Isnin depan melibatkan kawasan-kawasan terjejas teruk akibat banjir termasuk Bangkok.
Sementara itu, peta satelit menunjukkan bandar raya itu kini 'dikepung' oleh air banjir.
Banjir yang melanda utara Thailand sejak Julai lalu sedang mengalir ke bandar raya ini dan menuju ke Teluk Thailand di selatan negara itu.
"Jumlah airnya amat besar," kata Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
"Sebahagian air banjir akan melanda Bangkok tetapi kita akan berusaha supaya banjir mengalir keluar dengan seberapa segera," tambahnya.
Menurut Yingluck, beberapa kawasan di sini mungkin ditenggelami air sedalam 10 sentimeter hingga 1.5 meter.

SEKUMPULAN penduduk menaiki sebuah trak untuk keluar dari Bangkok.


"Jika tiga tembok penghadang banjir di sini kekal utuh, situasi di Bangkok akan bertambah baik. Namun, jika benteng tersebut gagal, seluruh Bangkok akan dilanda banjir," ujarnya.
Sementara itu, pengeluar kenderaan dari Jepun, Toyota memberhentikan pengeluarannya pada Sabtu ini di empat buah kilang di Amerika Utara termasuklah Indiana, Kentucky, Ontario Kanada dan Virginia berikutan impak banjir di Thailand.
"Banjir di Thailand telah menyebabkan gangguan dalam pengeluaran beberapa pembekal di rantau itu. Kami masih belum pasti sama ada boleh memulakan pengeluaran pada Isnin (31 Oktober) atau sebaliknya. Kami akan memantau keadaan di sana," kata jurucakap Toyota, Amiko Tomita.
- Agensi

No comments:

Post a Comment