Pages

Friday, October 14, 2011

'Harta ibu bernilai jutaan ringgit'



KHAIRUL ANAM menunjukkan surat tuntutan harta sepencarian ke atas bapa mereka di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seramai 11 orang anak kepada seorang jutawan syarikat bas ekspres terkemuka di sini menuntut daripada bapa mereka harta sepencarian dipercayai bernilai jutaan ringgit milik ibu mereka yang telah meninggal dunia pada 2008.

Kesemua mereka memfailkan tuntutan ke atas Che Ibrahim Che Ismail, 56, yang merupakan pemilik syarikat bas Ekspres Mutiara di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 2 Oktober lalu.

Mereka ialah Khalilullah, 31; Tamtini, 30; Amalina, 29; Khairul Azhan, 28; Khairul Anam, 26; Khairul Adnin, 24; Salsabila, 20; Siti Nahwan, 18; Muhammad Atifuddeen, 16; Muhammad Amar, 11 dan Nurul Aufa, 13.

Ibu mereka, Paizah Mohd. Yusoff meninggal dunia pada tahun 2008 ketika berusia 49 tahun setelah koma selama empat tahun berikutan kemalangan jalan raya pada tahun 2004.

Mereka selaku plaintif menuntut harta sepencarian arwah ibu mereka bermula dari tarikh perkahwinan arwah dengan Che Ibrahim pada 22 Februari 1979 sehingga ibu mereka meninggal dunia pada 24 September 2008.

Kesemua plaintif turut mengemukakan notis permohonan untuk mendapatkan perintah interim secara ex-parte di mahkamah yang sama bagi menghalang defendan daripada melakukan sebarang transaksi terhadap harta sepencarian milik ibu mereka yang jumlahnya akan ditentukan kemudian.

Menurut penyata tuntutan harta sepencarian itu, arwah telah berkorban sepenuh jiwa dan raga mengharungi suka duka hidup berumah tangga bersama defendan sebagai teman yang membantu dan memberi dorongan sehinggalah defendan memperoleh kesenangan dalam hidup.

Sementara itu, anak sulung Che Ibrahim, Khalilullah ketika ditemui di sini semalam berkata, harta sepencarian ibu mereka itu bernilai jutaan ringgit.

Beliau berkata, harta tersebut meliputi kawasan tanah di sekitar Kota Bharu, Gua Musang dan Kuala Lumpur, beberapa rumah banglo dan bangunan serta syer di dalam Ekspres Mutiara yang didaftarkan atas nama Mutiara Pahim Sdn. Bhd.

"Tuntutan harta sepencarian ini dibuat bagi membolehkan ayah mengagihkan harta itu secara adil kepada kami semua kerana ia adalah harta arwah ibu yang menjadi hak kami adik-beradik dalam mewarisi pusaka tinggalan arwah," katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Khalilullah lagi, bapanya telah berkahwin dengan seorang wanita lain selepas empat bulan ibunya koma akibat kemalangan pada tahun 2004.

"Selepas ibu meninggal dunia kami telah bertanya perkara ini kepada ayah beberapa kali tetapi tidak diendahkan.

“Kami juga telah berusaha dengan pelbagai cara, antaranya dengan meminta bantuan bapa saudara ayah saya, tapi tidak berjaya.

"Setelah tiga tahun berusaha, kami tidak ada jalan lain dan inilah jalan yang terbaik," ujarnya.

Khalilullah juga berharap, bapanya yang juga penerima anugerah Jaksa Pendamai perlu menunaikan tanggungjawabnya terhadap anak-anak meskipun lelaki itu telah berkahwin dengan wanita lain.Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment