Pages

Wednesday, October 26, 2011

Harapan selamat makin tipis



ANGGOTA penyelamat mendukung bayi perempuan berusia dua minggu yang berada dalam dakapan ibunya semasa terperangkap lebih dua hari selepas gempa bumi di Van, Turki, semalam. - REUTERS


ANKARA 25 Okt. - Jumlah kematian akibat gempa bumi berukuran 7.3 skala Richter yang melanda wilayah Van dan bandar Ercis di timur Turki meningkat kepada 432 orang, kata Pentadbiran Kecemasan dan Bencana hari ini.

Katanya, seramai 1,352 orang turut dilaporkan cedera manakala 2,262 buah bangunan runtuh ekoran akibat bencana itu.

Sementara itu, wartawan TelevisyenReuters berkata, seorang bayi berusia 14 hari dan ibunya diselamatkan daripada runtuhan bangunan di Ercis selepas 46 jam gempa bumi melanda kawasan tersebut.

Namun harapan untuk menemui lebih ramai penduduk yang terselamat semakin pudar ketika pasukan penyelamat berusaha keras mencari mangsa di celah-celah runtuhan bangunan.

Beribu-ribu penduduk bermalam untuk hari kedua di bawah kanvas, kereta dan berkumpul dalam kumpulan kecil mengelilingi api di pekan-pekan ekoran dilanda beratus-ratus gegaran susulan selepas gempa kuat tersebut.

"Saya masih menggigil (kerana ketakutan). Selagi gegaran susulan masih berlaku, kami akan tinggal di atas jalan," kata seorang wanita Kurdis berusia 40-an yang memanaskan badan di depan unggun api di Van.

Dengan suhu waktu malam diramal menurun kepada dua darjah Celsius dan salji turun esok, penduduk berlindung mencari perlindungan sama ada di dalam kereta, khemah dan ada juga yang menggunakan sehelai selimut saja.

Di Ercis, pasukan penyelamat bekerja keras untuk mengeluarkan mangsa yang terselamat dari runtuhan bangunan, manakala berpuluh-puluh ambulans dan bantuan perubatan dari seluruh negara dihantar ke kawasan kejadian.

Stadium di bandar itu yang merupakan tempat bersukan dijadikan sebagai hospital padang yang besar.

Mangsa yang patah tulang dirawat di atas bangku, luka dibersihkan di gelanggang bola keranjang dan proses memasukkan darah dilakukan di atas lantai gelanggang.

"Peranan kami memberi bantuan awal serta menstabilkan mangsa sebelum menghantar mereka ke hospital di pekan berdekatan menggunakan ambulans atau helikopter.

"Kami mula bertugas sejam selepas gempa tersebut berlaku dan seramai 500 pesakit dirawat," kata Niyazi Celik, seorang doktor yang terlibat menghulurkan bantuan di bandar itu. - AFP/REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment