Pages

Thursday, October 27, 2011

Bencana banjir di Bangkok dijangka hanya surut selepas empat minggu




SEORANG lelaki menolak warga emas berkerusi roda meredah air banjir di Bangkok, semalam. – AFP


BANGKOK 26 Okt. – Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra hari ini memberi amaran banjir yang bakal melanda Bangkok dijangka hanya akan surut selepas empat minggu, sekali gus menyebabkan pembelian panik dan penutupan lapangan terbang kedua ekoran peningkatan paras air.
Katanya, tembok banjir yang dibina mungkin tidak dapat menampung jumlah air yang mengalir dari utara dan zon paling rendah di ibu negara itu dijangka ditenggelami air.
“Kawasan sepanjang Sungai Chao Phraya paling berisiko tinggi dan tembok turut dibina, namun saya 50 peratus yakin kawasan rendah di Bangkok tidak akan ditenggelami air sepenuhnya,” katanya.
Katanya, krisis banjir ini diburukkan lagi dengan maklumat yang bercanggah antara pihak berkuasa negara dan tempatan, sekali gus mengelirukan 12 juta penduduk di bandar ini.
Malah katanya, air pasang pada hujung minggu ini dijangka meningkatkan lagi paras air Sungai Chao Phraya dan ia merupakan senario terburuk, di mana beberapa kawasan rendah Bangkok akan ditenggelami air lebih daripada semeter.
“Pada mulanya, banjir di Bangkok akan berterusan antara dua minggu hingga sebulan,” katanya.
Banyak pasar raya kekurangan bekalan seperti air botol dan telur ekoran pembelian panik oleh penduduk Bangkok.
“Kekurangan bekalan yang paling kritikal ialah air minuman dan penduduk dinasihatkan meminum air yang dimasak,” katanya.
Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra turut memberi amaran paras air sungai yang semakin meningkat di kawasan padat penduduk di sini berdepan bencana banjir dalam tempoh beberapa hari lagi.
Katanya, paras air Sungai Chao Phraya meningkat ke tahap tertinggi dan air melimpah keluar di beberapa tempat awal hari ini. – AFP/dpa

No comments:

Post a Comment