Pages

Wednesday, October 12, 2011

Bangkok diancam bah

PATHUM THANI: Pihak berkuasa Thailand semalam bertindak serta-merta membina tembok penghalang banjir di pinggir Bangkok bagi mengelak sebahagian daripada bandar raya itu dilanda bah apabila air yang mengalir dari wilayah utara tiba di bandar raya berkenaan beberapa hari lagi.

Menurut Jabatan Pencegahan Bencana, sekurang-kurangnya 269 orang mati akibat hujan lebat, banjir dan tanah runtuh di 27 daripada 77 wilayah negara itu sejak lewat Julai lalu.


Sebahagian besar wilayah utara, timur laut dan tengah negara itu dilanda bah, menjejaskan kehidupan 2.3 juta penduduk.

Bangkok yang hanya dua meter dari paras laut akan menjadi mangsa seterusnya apabila air yang melimpahi kawasan takungan air di utara tiba serentak dengan air pasang tinggi di muara yang dijangka bermula pada 13 Oktober.


Pekerja penyelamat bergegas membina tembok penghalang banjir di Pathum Thani, utara Bangkok selepas arus kuat malam tadi menyebabkan air melimpahi tebing sungai dan banjir sedalam dua meter.


“Saya tidak pernah melihat banjir seburuk tahun ini. Aras pertama rumah saya sudah tenggelam dan kini ia sudah jejak aras atas,” kata Wanpen Suanmakam, 62, penduduk Pathum Thani, wilayah yang berada di persimpangan terusan.

Timbalan Gabenor Pathum Thani, Lerpong Kaewsrichan, berkata banjir hampir menenggelamkan seluruh tanah pertanian. Bagaimanapun, dua kawasan perindustrian masih belum terjejas setakat ini.


“Kami berusaha sedaya upaya untuk melindungi zon ekonomi kami,” katanya.

Kira-kira 2,000 penduduk kini bersesak-sesak di pusat pemindahan sementara di Pathum Thani, kebanyakannya dari Ayutthaya, wilayah berhampiran, antara yang paling teruk terjejas.


Hampir 198 kilang di kawasan perindustrian di situ, termasuk kilang pemasangan syarikat Honda Motor ditutup. Nikon Corp berkata, ia menghentikan pengeluaran kamera digital SLR kerana bencana itu. Toyota Motor pula berkata, ia menghentikan operasi di ketiga-tiga kilangnya di Thailand. - Reuters

myMetro | Bangkok diancam bah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment