Pages

Tuesday, September 6, 2011

Remaja serang Ashraf didakwa

LONDON: Seorang remaja berusia 17 tahun menghadapi tuduhan menyerang pelajar Malaysia ketika rusuhan meletus di bandar raya ini bulan lalu.
Remaja itu yang namanya tidak disiarkan, dituduh menyerang Ashraf Haziq Rossli di Barking pada 8 Ogos, hari ketiga rusuhan.

Remaja berkenaan dijangka muncul di mahkamah majistret Thames hari ini atas dakwaan menyerang pelajar terbabit, merompak, dua dakwaan mencuri dan dua dakwaan keganasan. Ashraf yang diserang penyangak yang berpura-pura untuk menolong ketika kejadian rusuhan sebelum ini pernah menyatakan keraguannya kemungkinan insiden seumpama itu akan berlaku di Malaysia.

Ashraf yang berkata keadaan di Malaysia lebih tersusun juga berkata, polis di Kuala Lumpur lebih efisien.

Namun, menurutnya, dia masih percaya dengan sistem keadilan di Britain dan pada masa sama tidak menunjukkan reaksi untuk melihat penyerangnya menerima hukuman berat.

Ketika memberi kenyataan dalam sidang akhbar bersama keluarganya di hotel di barat London beberapa hari selepas kejadian, pelajar berusia 20 tahun itu memuji rakyat Britain sambil berkata, ‘terdapat ramai orang yang baik di mana saja anda pergi di Britain.’ Ashraf dibawa ke hospital dengan rahangnya patah akibat diserang kurang sebulan selepas tiba di Britain untuk mengikuti pengajian di Universiti Kaplan, Islington. Orang ramai menyumbangkan ribuan pound bagi membantunya selepas rakaman serangan ditonton jutaan orang menerusi YouTube. Bagaimanapun, katanya, dia berhasrat ingin mendermakan sedikit daripada wang sumbangan itu.


“Saya rasa terdapat ramai lagi mangsa yang turut memerlukan bantuan,” katanya. Sebelum ini, Reece Donovan, 21, dituduh mencuri alat permainan PlayStation dan telefon bimbit Nokia milik Ashraf.

Dia direman dan akan muncul di mahkamah sama pada 10 Oktober depan dan kesnya didengar dan membolehkan dia merayu. - DM

No comments:

Post a Comment