Pages

Tuesday, September 6, 2011

Pemuja, pembenci Hosni tempur lagi

KAHERAH: Perbicaraan Hosni Mubarak disambung semalam selepas berpuluh-puluh penyokong dan penentang bekas Presiden Mesir itu bertempur berhampiran mahkamah sejurus sebelum diktator terbabit tiba dengan pengusung.
Sesi itu diadakan untuk mendengar keterangan empat saksi bagi memutuskan siapa memberi arahan pembunuhan ratusan penunjuk perasaan antikerajaan pada Februari lalu.

Ia dibuat secara tertutup, berbeza daripada dua sesi terdahulu yang menyaksikan Hosni terlantar di atas pengusung yang diletak dalam kandang tertuduh.

Imej yang disiarkan stesen televisyen Mesir semalam menunjukkan Hosni, 83, masih dibawa menaiki ambulans sebelum diangkat menggunakan pengusung ke kamar mahkamah.

Sebelum dia muncul, dua kumpulan penunjuk perasaan bertempur.

“Kami tidak membiarkan kamu!” jerit penyokong diktator itu, sebelum disambut pekikan menuntut dia dihukum oleh kumpulan penentangnya.


“Dia itu yang membunuh anak-anak kami dengan peluru!” jerit mereka.

Keputusan menghentikan siaran langsung perbicaraan itu dibuat hakim, Ahmed Refaat, selepas dia kelihatan berang dengan suasana sesak mahkamah sebelum ini.
Selepas ditangguhkan pada 15 Ogos lalu, beberapa waris mangsa kekejaman Hosni bersama peguam menjerit mendesak dia dihukum.

Mahkamah akan menentukan sama ada arahan menembak dibuat Menteri Dalam Negara semata-mata atau turut membabitkan Hosni. - AFP

No comments:

Post a Comment