Pages

Saturday, September 24, 2011

Pakistan hentam Amerika Syarikat

ISLAMABAD: Amerika Syarikat ada kemungkinan akan kehilangan sekutunya jika ia terus secara terbuka mengkritik prestasi Pakistan dalam kempen perang memerangi keganasan.

Kamu akan hilang sokongan. Kamu tidak berupaya mengasingkan dan ketepikan Pakistan dan rakyatnya. Jika anda pilih berbuat demikian, itu adalah kehendak mereka sendiri, kata Menteri Luar, Hina Rabbani Khar kepada Geo TV di New York.
Hina Rabbani mengulas kenyataan pengerusi Ketua Turus Bersama Amerika yang bakal melepaskan jawatannya, Laksamana Mike Mullen, di Senat bahawa agensi perisikan atasan Pakistan ada hubungan rapat dengan Rangkaian Haqqani, kumpulan paling ganas tetapi berkesan membantu Taliban di Afghanistan.
Mullen menuduh agensi Perkhidmatan Perisikan Dalaman Pakistan (ISI) memainkan peranan dalam serangan 13 September ke atas kedutaan Amerika di Kabul, dan menyokong militan dikenali sebagai Rangkaian Haqqani.

Rangkaian itu, katanya, adalah sayap penuh ISI. Serangan kedutaan adalah yang terbaru dalam satu siri episod ganas yang menghalang usaha Amerika membawa perang Afghan hampir kepada damai.

Ulasan Mullen dan kenyataan sinis Hina Rabbani menandakan ketegangan retorik luar biasa antara sekutu dalam usaha menentang militan kerana disuarakan secara terbuka sekali gus menunjukkan hubungan AS-Pakistan berada di peringkat paling teruk sejak komando Amerika menyerbu kediaman pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, di Abbottabad Mei lalu.

Pada peringkat operasi, wajar mengatakan wujud kesukaran serius (antara dua negara), kata Hina Rabbani kepada Geo TV.
Dalam temu ramah berasingan dengan NDTV India, Khar menambah: Menuding jari antara satu sama lain tidak membantu. Menyalahkan pihak tertentu juga tidak membantu...Kami mahu menjadi negara matang, bertanggungjawab yang berjuang menentang keganasan dengan kematangan.

Ketegangan itu mungkin memberi akibat di seluruh Asia, dari India, seteru utama dari segi ekonomi Pakistan, sehingga China, yang semakin rapat dengan Pakistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Memutuskan hubungan dianggap mustahil kerana Pakistan meberi laluan membekalkan tentera Amerika di Afghanistan, dan sebagai pangkalan untuk pesawat hendap Amerika.

Pakistan bergantung kepada Washington untuk bantuan tentera dan ekonomi serta menjadi penyokong di pentas dunia. Washington tidak mahu melihat ketidakstabilan lanjut dalam negara senjata nuklear itu.

Namun, sokongan dalam Kongres Amerika untuk kekangan bantuan atau membuat syarat bantuan lebih ketat sudah meningkat. Reuters 

No comments:

Post a Comment