Pages

Monday, September 19, 2011

NTC siap sedia umum Kabinet

BENGHAZI: Pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya bersedia membentuk kerajaan baru, semalam walaupun anggota mereka diserang hebat askar yang setia dengan Muammar Gaddafi di kubu pertahanan terakhir pemimpin diktator itu.
Jurucakap tentera NTC, Ahmed Bani, berkata askar Gaddafi di Sirte dan gurun pasir Bani Walid hingga ke kawasan barat daya akan ditumpaskan beberapa hari lagi. Katanya, perbincangan saat-saat akhir juga melewatkan pengumuman mengenai pembentukan kerajaan baru.

Pemimpin nombor dua NTC, Mahmud Jibril, dituduh beberapa rakannya gagal berurusan dengan akar-umbi kumpulan pembangkang seperti Persaudaraan Islam.

Mahmud dijangka mengekalkan jawatannya sebagai perdana menteri sementara, manakala Ali Tarhuni dinamakan sebagai naib presiden yang bertanggungjawab atas hal ehwal ekonomi.

Portfolio pertahanan dijangka bakal dipegang Osama al-Juwili dan Menteri Hal Ehwal Minyak dijawat Abdel Rahman bin Yezza.

Sementar itu, pejuang NTC bersedia untuk melakukan serangan ke atas Sirte di pinggir perairan Mediterranean. Jurucakap pegawai operasi, Ahmed al-Zlitni, berkata pejuang yang mara dari timur merancang serangan di sekitar desa Harawa, kira-kira 50 hingga 60 kilometer dari Sirte, kata “Semalam kami menghadapi banyak serangan balas dan kami menjangka perkara sama turut berlaku hari ini,” katanya. Pejuang NTC mara dari barat menuju ke Sirte kelmarin sebelum berundur ekoran serangan hebat tembakan artileri selepas dua jam bertempur.


Komando Briged al-Dhahira, Saleb Abu Shaala, berkata anggotanya berundur untuk bergabung dengan kumpulan lain sebelum melakukan serangan semula ke atas Sirte. “Kami berundur untuk bergabung dengan kumpulan lain dan memasuki Sirte semula dari tiga arah,” katanya.

Sementara itu, doktor di hospital berhampiran tempat pertempuran melaporkan, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 40 lagi cedera di Sirte. - AFP

No comments:

Post a Comment