Pages

Sunday, September 4, 2011

NTC pindah ke Tripoli

BENGHAZI: Pemimpin pemberontak Libya berkata, mereka akan memindahkan pentadbiran mereka ke Tripoli minggu depan untuk mengambil alih pemerintahan negara itu selepas mengusir tentera Muammar Gaddafi.
Kumpulan itu juga berikrar akan mengembalikan ketenteraman dan mengadakan pilihan raya dalam masa 20 bulan.

“Kami akan ke Tripoli minggu depan. Tripoli ialah ibu negara kami,” kata Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Mustafa Abdel Jalil kepada orang kenamaan dan ketua puak.

Beliau bagaimanapun berkata, perpindahan keseluruhan NTC hanya akan dilakukan apabila keadaan keselamatan terjamin.

Beliau memberitahu demikian selepas Gaddafi yang digulingkan setelah 42 tahun memerintah negara itu memberi amaran dari tempat persembunyiannya bahawa perang saudara secara meluas akan dilancarkan.

Sementara itu, di Tripoli, beribu-ribu orang, kebanyakannya wanita, berkumpul di Dataran Syuhada untuk menunjukkan sokongan kepada pucuk kepimpinan baru.


“Udara yang kami hirup kini lebih segar,” kata juruterbang, Manal Al-Deber, 35.

“Kami impikan saat seperti ini sejak 42 tahun lalu. Hari ini, ia menjadi kenyataan,” katanya.
Wakil NTC di Britain, Guma al-Gamaty berkata, badan yang akan ditugaskan merangka perlembagaan akan dipilih dalam masa lapan bulan dan sebuah kerajaan akan dibentuk menerusi pilihan raya dalam tempoh 12 bulan selepas itu.

Menurutnya, sepanjang lapan bulan pertama, MTC akan mentadbir Libya.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan, Ahmed Darrad berkata, pejuang dari daerah lain yang membantu membebaskan Tripoli kini perlu kembali ke daerah asal masing-masing.

“Bermula hari ini (semalam), sejumlah besar anggota keselamatan dan polis akan kembali bekerja. Pejuang revolusi di Tripoli sudah mampu melindungi penduduk bandar raya ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment