Pages

Thursday, September 22, 2011

Nekad wira Kampung Sepakat



SEORANG penduduk melihat keadaan rumah Noraini yang hangus dalam kebakaran 
di Kampung Sepakat, Masai, Johor semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang juruelektrik wajar dianggap wira apabila tindakan nekadnya merempuh pintu dan meredah api marak dapat menyelamatkan nyawa dua beradik yang terperangkap dalam kebakaran di Kampung Sepakat, Masai semalam.
Abu Bakar Abdul Rahim, 44, bergegas ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya sebaik terdengar jeritan jiran mengenai kediaman kanak-kanak tersebut, Nurin Syerlienna Norman, 6, dan Mohd. Daniel Hadi, 4, sedang dijilat api pada pukul 12.10 tengah hari.
Dalam kejadian itu, Nurin Syerlienna dan Mohd. Daniel termasuk Abu Bakar tidak cedera.
Difahamkan, sebelum kejadian Abu Bakar sedang berbual bersama rakannya yang bertandang di rumah dan dia bercadang untuk ke tempat kerja selepas itu.
Mengimbau semula kejadian itu, Abu Bakar berkata, sebaik sampai di depan rumah itu, dia ternampak dua beradik itu dalam keadaan menangis dan duduk ketakutan di ruang tamu kerana terperangkap dalam rumah yang diselubungi bahang api.
ABU BAKAR


Ceritanya, dia kemudian bergegas ke belakang rumah lalu merempuh pintu selepas mendapati pintu pagar depan berkunci.
"Entah dari mana datang semangat, saya terus meredah api yang ketika itu sedang marak di depan rumah. Tanpa berfikir panjang, saya terus mendukung kedua-dua kanak-kanak terbabit untuk diselamatkan melalui pintu belakang," cerita Abu Bakar mengenai detik cemas itu.
Tambahnya, dia langsung tidak memikirkan keselamatan dirinya kerana sebaik ternampak kanak-kanak itu menangis dan seperti mengharap bantuan, hatinya menjadi sayu dan berfikir dua beradik itu mesti diselamatkan.
Menurut Abu Bakar, ini kali pertama dia menyelamatkan orang yang terperangkap dalam kebakaran.
"Mujur saya masih belum pergi ke tempat kerja kerana melayan rakan yang datang ke rumah. Jika tidak, entah apa nasib mereka," kata Abu Bakar lagi.
Sementara itu, ibu dua beradik itu, Noraini Samhari, 31, menjelaskan, ketika kejadian dia berada di pejabat manakala Nurin Syerlienna, Mohd. Daniel serta abang mereka, Mohd. Haikal, 8, dijaga oleh adiknya, Hasanah Samhari, 30.
NURIN SYERLIENNA masih trauma setiap kali mengenangkan dia dan adiknya nyaris rentung dalam kebakaran.


Kerani dan ibu tunggal itu menjelaskan, ketika kejadian adiknya sedang menghantar Mohd. Haikal ke sekolah berhampiran.
"Saya amat bersyukur kerana anak-anak saya selamat walaupun kini kami tinggal sehelai sepinggang. Terima kasih kepada jiran yang menyelamatkan kedua-dua anak saya," katanya yang memberitahu beberapa barang kemas dalam tin yang disimpan di dalam rumah ditemui semula sebaik api dipadamkan.
Kejadian itu turut mengakibatkan sebuah lagi rumah milik Kaserin Mohd. Yunus, 72, yang terletak bersebelahan terbakar. Kaserin dan keluarganya tiada di rumah ketika kejadian.
Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Pasir Gudang, Mohd. Salleh Mohamed berkata, pihaknya mengerahkan seramai 13 anggota ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 12.23 tengah hari.
Katanya, sebaik sampai, sebuah rumah telah terbakar hampir 70 peratus manakala sebuah lagi hampir 50 peratus terbakar. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.

No comments:

Post a Comment