Pages

Sunday, September 11, 2011

Kedutaan Israel diceroboh




seorang Penduduk mesir membakar bendera Israel selepas beratus-ratus penduduk merusuh dan menceroboh bangunan kedutaan israel di kaherah, kelmarin. - AFP


KAHERAH 10 Sept. - Beratus-ratus rakyat Mesir menyerbu bangunan yang menempatkan Kedutaan Israel di Kaherah dan menyelongkar bangunan tersebut, semalam.
Penunjuk perasaan dilaporkan melemparkan dokumen-dokumen dan bendera Israel keluar dari bangunan berkenaan melalui tingkap.
Duta Israel ke Mesir, Yitzhak Levanon bersama kakitangan kedutaan dan keluarga mereka dilaporkan dibawa pulang ke Tel Aviv, awal pagi ini, kata sumber lapangan terbang.
Media tempatan melaporkan sebuah pesawat Israel tiba di Kaherah untuk mengambil Levanon dan kakitangannya pulang ke Tel Aviv.
Kementerian Dalam Negeri berkata, sekurang-kurangnya 450 orang penunjuk perasaan bertempur dengan polis yang menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan demonstrasi itu.
Televisyen rasmi melaporkan 46 anggota polis cedera dalam kejadian itu.
Ia merupakan serangan kedua ke atas kedutaan itu sejak lima pengawal sempadan Mesir dibunuh tentera Israel dalam satu operasi di sempadan Gaza dan Rafah pada bulan lepas.
Saksi berkata, demonstrasi itu berlanjutan sehingga awal pagi dengan polis bertempur dengan sekurang-kurangnya 2,000 penunjuk perasaan di kedutaan berkenaan.
Media rasmi melaporkan Perdana Menteri Mesir, Essam Sharaf mengadakan sidang khas Kabinet awal hari ini, manakala Menteri Dalam Negeri mengarahkan polis berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Israel berkata, pihaknya meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membantu mengawal kedutaan itu yang terletak di tingkat atas bangunan apartmen.
Sementara itu, pihak hospital Mesir berkata, tiga orang terbunuh dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di luar kedutaan Israel, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat serangan penyakit jantung.
Tambahnya, ketiga-tiga mayat dibawa ke bilik mayat hospital di ibu negara manakala menteri kesihatan melaporkan seorang maut akibat serangan sakit jantung. - Reuters/AFP

No comments:

Post a Comment