Pages

Thursday, September 8, 2011

Jenayah simbah asid ditiru melalui laporan media?

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Polis tidak menolak kemungkinan suspek- suspek yang terlibat dalam kejadian simbah cecair kimia dan asid terhadap individu tertentu yang dilaporkan sebelum ini, meniru perbuatan jenayah itu melalui laporan media massa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, secara psikologi memang manusia suka meniru sesuatu melalui apa yang dilihat dan didengar.
Beliau berkata, kes-kes simbah cecair kimia dan asid bukanlah baru berlaku akhir-akhir ini tetapi sudah wujud sejak dahulu lagi.
"Ia nampak seperti trend jenayah baru apabila media massa memberi fokus dan kerap melaporkan kejadian tersebut baru-baru ini.
"Akibatnya, ia menjadi ikutan apabila ada individu tidak bertanggungjawab meniru perbuatan itu untuk melakukan jenayah samun dan membalas dendam terhadap mereka yang dibenci.
"Kes simbah asid sama macam lumba haram, jumpa ular sawa atau buang bayi. Bila media melaporkan kes-kes itu, ia menjadi ikutan dan boleh dilihat apabila ia berturutan berlaku hampir di seluruh negara," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagi Selangor, kata Tun Hisan, hanya dua kejadian simbah cecair disyaki asid dilaporkan berlaku pada tahun ini iaitu di Kajang dan Ampang.
Katanya, namun siasatan mendapati kedua-dua mangsa dalam kes itu disimbah menggunakan cecair pencuci dan bukan asid merbahaya.
Katanya lagi, pasukan khas dianggotai polis Selangor dan Kuala Lumpur yang ditubuhkan baru-baru ini bagi mengesan suspek-suspek terlibat dalam kejadian terbabit masih berusaha memburu penjenayah berkenaan.
Dalam pada itu, Tun Hisan menasihatkan orang ramai terutama pengguna jalan raya berhati-hati apabila dihampiri individu tidak dikenali yang melanggar kereta dari belakang atau memaklumkan kenderaan mengalami kerosakan seperti tayar pancit.
Katanya, mungkin tayar kenderaan itu sengaja dipancit oleh individu terbabit yang berniat mahu menyerang mangsa dengan asid sebelum disamun.
"Jika anda pada masa itu berada di tempat pemandu dan mahu melarikan diri, saya nasihatkan anda keluar ikut pintu kiri kerana kebiasaannya suspek menyerang dari arah kanan," katanya.

No comments:

Post a Comment