Pages

Wednesday, September 7, 2011

Hujan monsun di Pakistan, 132 terbunuh

KARACHI 6 Sept. - Pakistan kini dilanda hujan monsun dengan sekurang-kurang 132 orang terbunuh dalam tempoh sebulan lalu, selain menjejaskan hampir lima juta penduduk.
Pihak berkuasa berkata, hujan lebat dijangka turun lebih kerap dalam tempoh beberapa hari lagi dan selatan Sindh, wilayah yang kerap dilanda banjir, menjadi kawasan paling teruk terjejas dengan banyak tanaman dan rumah kediaman musnah.
"Banjir menyebabkan 132 orang terbunuh dan menjejaskan kira-kira lima juta penduduk," kata Dr. Zafar Qadir, ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara dalam satu sidang media di Islamabad.
Tambahnya, kebanyakan mangsa yang terbunuh disebabkan terjatuh dari bumbung, lemas dan dijangkiti penyakit bawaan air.
Sejumlah wanita dan kanak-kanak turut menjadi korban banjir.
"Kemusnahan akibat bencana tersebut lebih teruk daripada apa yang kami jangka.
"Sebanyak 690,000 rumah rosak, dengan 250,000 daripadanya musnah sepenuhnya, manakala kira-kira 100,000 ekor lembu turut mati akibat bencana itu," katanya.
Tahun lalu, banjir terburuk dalam sejarah Pakistan menyebabkan 1,750 kematian dan menjejaskan 21 juta penduduk, di mana kawasan selatan negara ini sekali lagi dilanda bencana itu semula.
Badan-badan kebajikan menuduh Pakistan gagal menggunakan dana untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan banjir.
Sajjad Haider Shah, seorang pegawai pihak berkuasa pengurusan bencana di Sindh berkata, 300,000 orang telah dipindahkan dari sana.
Sementara itu, jabatan meteorologi meramalkan lebih banyak hujan akan turun sepanjang minggu ini. - AFP

No comments:

Post a Comment