Pages

Friday, September 23, 2011

Drama polis tiru kes Strauss-Kahn





2011/09/23

Plot cerita diplomat Itali cuba perkosa pekerja hotel keturunan Sudan 

WASHINGTON: Musim baru drama polis Law and Order: Special Victims Unit bermula kelmarin di saluran televisyen NBC memaparkan kisah yang mirip kes bekas Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) yang juga warga Perancis, Dominique Strauss-Kahn.
Ia mengisahkan seorang diplomat angkuh, watak dipegang oleh aktor Franco Nero yang ‘diramal bakal Perdana Menteri Itali seterusnya’ dan dituduh melakukan serangan seksual terhadap seorang pekerja hotel keturunan Sudan.
Selepas tuduhan itu dibuat, kewibawaan pekerja hotel berkenaan pula yang menjadi isu. 

Plot cerita itu mirip kes Strauss-Kahn yang popular menerusi singkatan ‘DSK’, dengan seorang pekerja hotel keturunan Guinea yang menuduh menjadi menjadi rogolnya di sebuah bilik mewah di New York. 

Bagaimanapun, kes itu tidak membawa kepada pengadilan mahkamah selepas pendakwa raya pula menuduhnya berbohong. 

“Satu lagi kes seperti DSK,” kata seorang penyiasat drama berkenaan ketika watak Nero disoal siasat selepas dia ditahan dalam pesawat di New York, sama seperti Strauss-Kahn. 
Drama itu juga menunjukkan aksi ‘suspek berjalan’ di depan anggota media seperti Strauss-Kahn yang dianggap berpotensi mencabar Nicolas Sarkozy bagi jawatan Presiden Perancis. 

Bagaimanapun, sejak awal-awal lagi, produser drama berkenaan menegaskan kisah itu rekaan semata-mata. 

Siri polis itu terkenal dengan reputasi memaparkan kisah seperti yang sudah dilaporkan. Ia mulanya dikenali sebagai ‘Law and Order’ dan tamat pada tahun lalu selepas 20 tahun. 

Siri itu dianggap menceritakan kisah rogol Tawana Brawley pada awal tayangannya pada 1980-an. Brawley adalah seorang remaja Afrika-Amerika yang pada 1987 mendakwa diperkosa enam lelaki kulit putih, termasuk anggota polis. 

Tetapi, dakwaannya ditolak juri yang memutuskan dakwaannya palsu. 

Law and Order: Special Victims Unit menggunakan lokasi di New York dan memulakan penggambaran musim terbaru pada Julai lalu, dua bulan selepas kes Strauss-Kahn meledak, apabila DSK didakwa melakukan serangan seksual terhadap Nafissatou Diallo. – AFP 

No comments:

Post a Comment