Pages

Wednesday, September 7, 2011

Dibelasah ketika ambil anak

GOMBAK: Seorang wanita melecur kaki kanan dan cedera di muka dipukul bekas suami ketika datang mengambil anak lelakinya di rumah mentuanya Kampung Melayu Sri Kundang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 25 tahun mengambil anaknya berusia dua tahun untuk tinggal sementara dengannya kerana rindu.

Pada mulanya, bekas ibu mentuanya membenarkan mangsa mengambil anaknya itu sebelum dibawa dengan motosikal.

Bagaimanapun, belum sempat mangsa meneruskan perjalanan, tiba-tiba bekas suami yang menyedari kehadirannya berlari keluar menghalang mangsa membawa anak mereka.

Menurut sumber, mangsa yang terkejut dengan tindakan itu naik berang sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Masing-masing enggan mengalah dan pertengkaran berlaku sebelum lelaki itu menarik motosikal mangsa menyebabkannya terjatuh,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri dihempap motosikal itu sementara kaki kanan tersepit di celah ekzos yang panas menyebabkan dia menjerit kesakitan.

“Bekas suami mangsa kemudian menumbuk mukanya beberapa kali sebelum mengambil anaknya,” katanya.
Katanya, dalam kesakitan, mangsa bangun semula dan terus ke Balai Polis Kuang untuk membuat laporan berhubung kejadian itu sebelum menerima rawatan di klinik berhampiran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

No comments:

Post a Comment