Pages

Monday, September 26, 2011

China perluas tentera laut


Keupayaan tentera laut China ditingkatkan lagi dengan pembelian kapal pengangkut pesawat jenis Varvag dari Ukraine. - AGENSI



SHANGHAI 25 Sept. - Tentera laut China memainkan peranan semakin penting dalam kempen negara ini untuk menjadi sebuah kuasa tentera dunia, dan ujian kapal pengangkut pesawat udaranya yang pertama baru-baru ini membuktikan cita-cita besar tentera laut Beijing.
China semakin menonjolkan kekuatan tenteranya di laut lepas dan pelayaran sulung kapal pengangkut itu pada bulan lalu mencetuskan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, yang menyifatkan langkah itu bakal membawa 'kesan besar' di rantau ini.
Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China yang merupakan angkatan bersenjata terbesar di dunia sebahagian besarnya adalah tentera darat.
Namun, tentera laut memainkan peranan semakin besar ketika Beijing mengambil pendirian lebih tegas dalam membuat tuntutan ke atas wilayahnya, terutama di Laut China Timur dan Laut China Selatan.
Sekumpulan wartawan dibawa melawat kapal frigat peluru berpandu Anqing di pangkalan Armada Timur di Ningbo, ke selatan Shanghai baru-baru ini.
"Selaku anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), China perlu memikul tanggungjawab lebih besar dalam hal-ehwal dunia," kata ketua staf pangkalan tentera laut di Ningbo, Kapten Wei Hua kepada wartawan.
"Kami mempunyai garisan tepi laut sepanjang kira-kira 18,000 kilometer dan kawasan maritim melebihi tiga juta kilometer persegi.
"Kerana itu sangat penting untuk membina sebuah tentera laut yang kuat bagi melindungi negara ini dan kepentingannya," ujar beliau.
Taiwan tetap menjadi faktor utama dalam strategi pertahanan Beijing tetapi pulau itu bukan satu-satunya tumpuannya.
Beijing menuntut sebahagian besar daripada Laut China Selatan yang turut dituntut oleh jiran-jirannya yang lebih kecil, selain perlu memastikan keselamatan saluran bekalan dan sumber baru bahan mentah bagi menggerakkan ekonominya yang berkembang pesat.
"Beijing mahu membawa Laut China Selatan yang dianggapnya sebagai sebahagian wilayahnya ke dalam lingkungan pengaruhnya," kata seorang pakar pertahanan antarabangsa. - AFP

No comments:

Post a Comment