Pages

Wednesday, September 7, 2011

Cakar muka suami

GOMBAK: Hanya kerana permintaannya untuk pergi ke salun tidak ditunaikan, seorang isteri sanggup mencakar muka dan memukul kepala serta badan suaminya di kediaman mereka di Selayang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, suaminya yang berusia 27 tahun sebelum itu keluar bersiar-siar bersama-sama dan pulang ke rumah kerana perlu pergi ke tempat kerja.

Bagaimanapun, isterinya yang berusia 25 tahun meminta suaminya itu menghantarnya terlebih dahulu ke salun berhampiran kerana ingin membuat rawatan rambut.

Menurut sumber, mangsa memberitahu tidak dapat menghantarnya ke salun itu kerana ingin terus ke tempat kerja dan berjanji menghantarnya pada hari lain.

“Namun, isterinya tidak dapat menerima jawapan diberi mangsa malah terus mendesak supaya menghantarnya ke salun berkenaan.

“Akibatnya, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum tiba-tiba wanita itu mencakar muka mangsa menyebabkan dia menjerit kesakitan sambil menekup muka,” katanya.


Sumber berkata, mangsa turut dipukul di kepala beberapa kali bagi melepaskan geram tambahan pula mangsa yang dalam kesakitan akibat dicakar tidak mampu melawan.

“Selepas beberapa minit mangsa yang tidak tahan dengan pelakuan isterinya itu keluar rumah untuk ke tempat kerjanya di Jinjang.
“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Jinjang mengenai kejadian itu. “Kes itu dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak,” katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera di muka, telinga dan kepala diberi rawatan di klinik berhampiran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment