Pages

Sunday, September 4, 2011

Budak 5 tahun lemas jatuh terusan

SANGLANG: “Arwah suruh saya belikan bunga api tetapi saya tidak bagi, tak sangka pula arwah pergi ke kedai secara senyap-senyap,” kata Jasmi Ludin, 39, bapa kepada Syabil Syakirin, 5, yang lemas dipercayai terjatuh ke dalam terusan selepas gagal mengawal basikal ditungganginya di Kampung Masjid, Kuala Sanglang, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 2.30 petang, mangsa dikatakan keluar dari rumah di Taman Sri Sanglang, di sini, 500 meter dari tempat kejadian untuk membeli bunga api di sebuah kedai berhampiran terusan itu.

Jasmi berkata, anaknya yang bersekolah di Tabika Kemas Kuala Sanglang memintanya membeli bunga api tetapi dia tidak mengendahkannya, menyebabkan arwah pergi ke kedai seorang diri.

“Saya tidak sangka dia keluar senyap-senyap dengan menunggang basikal. Kebetulan sebelum kejadian itu, kakaknya, Nursyifaa, 8, perasan adiknya tiada di rumah, menyebabkan kami semua pergi mencarinya di sekitar rumah tetapi tidak menemuinya.

“Beberapa minit kemudian saya menerima panggilan daripada penduduk kampung memberitahu anak saya lemas dalam terusan.

“Ketika sampai di situ, penduduk memaklumkan mereka sudah membawa anak saya ke klinik berhampiran. Bagaimanapun, dia meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Sri Sanglang, di sini, semalam.


Beliau berkata, dia bergegas ke klinik itu sebelum doktor mengarahkannya menghantar arwah ke Hospital Tunku Fauziah (HTF), Kangar untuk tindakan susulan.

“Saya reda dengan ketentuan Ilahi. Arwah anak yang lincah dan aktif... kami sedih dengan kehilangannya,” katanya.
Sementara itu, saksi kejadian, Kamarudin Othman, 48, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan ke kedai runcit berdekatan rumah dan menemui sebuah basikal di atas jambatan.

“Selepas melihat ke arah sungai, saya dapati sepasang kasut kanak-kanak dibawa arus dan saya percaya sesuatu yang buruk berlaku, menyebabkan saya menghubungi abang saya, Zakaria, 54 untuk membantu.

“Lima minit selepas abang datang, dia menyelam ke dasar sungai dan menemui seorang budak lelaki lemas. Ketika dipapah, mangsa didapati dalam keadaan lembik.

“Biarpun tiga kali melakukan pertolongan cemas, usaha kami tetap gagal sebelum kami meminta pertolongan orang ramai membantu membawanya ke klinik,” katanya.

No comments:

Post a Comment