Pages

Friday, September 9, 2011

Bom palsu paksa dua pesawat Pakistan mendarat cemas


Dua pesawat Pakistan International Airlines (PIA) terpaksa mendarat cemas masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Istabul, Turki (kiri) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam selepas menerima ancaman laporan bom palsu ditempatkan di dalam pesawat. – Reuters



ISTANBUL 8 Sept. – Syarikat penerbangan, Pakistan International Airlines (PIA) sedang menyiasat ancaman menerusi e-mel yang mendakwa bom-bom diletakkan di dalam dua pesawatnya, memaksa satu daripadanya dilencongkan ke Istanbul manakala satu lagi mendarat mengikut jadual di Kuala Lumpur.
PIA hari ini berkata, pihaknya menerima dua e-mel lewat semalam yang mendakwa terdapat bom di dalam kedua-dua penerbangan dan mengarahkan juruterbang berkenaan mendarat dengan segera di lapangan terbang terdekat, tetapi tiada bahan letupan ditemui di dalam kedua-dua pesawat.
“Jabatan keselamatan PIA sedang menjalankan siasatan mengenai e-mel itu tetapi setakat belum ada hasil dan mereka juga bekerjasama dengan Pasukan Keselamatan Lapangan Terbang (ASF) dan agensi lain yang bertanggungjawab terhadap keselamatan,” kata pengarah operasi penerbangan PIA, Naveed Aziz.
Seorang lagi pegawai kanan PIA berkata, pakar komputer daripada syarikat penerbangan itu dan pasukan keselamatan menjalankan siasatan tersebut.
“Perkara ini serius dan jika tidak dibendung dari awal, e-mel palsu seperti itu boleh merosakkan reputasi kami pada masa depan selain memburukkan negara kami di peringkat antarabangsa,” katanya.
Pesawat pertama berlepas dari Lahore dalam penerbangan ke bandar raya Manchester, Britain apabila ia dilencongkan ke Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, mencetuskan panik di kalangan 378 penumpangnya, lapor pihak berkuasa lapangan terbang dan media Turki.
Pegawai keselamatan di Istanbul dengan bantuan anjing pengesan memeriksa pesawat Boeing 777-300EA itu serta bagasi penumpangnya selama tiga jam, lapor agensi berita Anatolia.
Tiada bahan letupan ditemui dan ancaman bom itu disahkan sebagai palsu, kata pihak berkuasa lapangan terbang, menurut laporan CNN-Turk dan NTV.
Amaran mengenai bom itu, diterima semasa pesawat berada di ruang udara ibu negara Bulgaria, Sofia, mencetuskan panik di kalangan penumpang, menurut Anatolia.
Selepas mendarat di Istanbul sekitar 1400 GMT (10 malam waktu Malaysia), penumpang dibawa turun dari pesawat yang kemudian dipindahkan ke zon keselamatan.
Penerbangan kedua dari Lahore, membawa 187 orang, mendarat dengan selamat di destinasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas ancaman bom diterima ketika pesawat berada di ruang udara.
“Kami tidak boleh memandang ringan ancaman sedemikian dan sedang menyiasat perkara ini,” kata jurucakap Lembaga Penerbangan Awam, Pervez George.
Seorang pegawai keselamatan lapangan terbang berkata, langkah keselamatan diperketat di semua lapangan terbang di Pakistan berikutan ancaman palsu itu. – AFP

No comments:

Post a Comment