Pages

Sunday, September 4, 2011

Baju, kasut raya jadi hadiah terakhir


norazrina memeluk Mohd. Irfan dan Mohd. Naufal sambil diperhatikan Naemah setelah tiba di rumah bapa mertuanya di Taman Serdang Raya, Serdang semalam.

JOHOR BAHRU – Baju dan kasut raya yang dibeli jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor, 39, pada awal Ramadan lalu menjadi hadiah terakhir paling bermakna buat isteri dan anak-anaknya sebelum dia meninggal dunia akibat terkena tembakan curi ketika membuat liputan di Mogadishu, Somalia kelmarin.
Isteri Allahyarham, Norazrina Jaafar, 37, berkata, baju dan kasut untuk dia dan dua orang anak mereka, Mohd. Irfan, 8, dan Mohd. Naufal, 3, akan disimpan sebagai kenangan.
Meskipun sedih dengan pemergian suami, Norazrina tetap reda dan menganggap ia qada dan qadar Tuhan.
“Yang pergi tetap pergi. Saya akan pikul amanah untuk membesarkan anak-anak kami sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Taman Sentosa di sini semalam.
Eksekutif Perhubungan Awam di sebuah agensi kerajaan itu menjelaskan, arwah pernah berpesan supaya dia menerima ketentuan dan reda dengan segala yang berlaku sekiranya terjadi sesuatu ke atas dirinya.
“Dia tidak pernah membantah arahan tugasan di mana- mana,” katanya.
Noramfaizul dilaporkan terkena tembakan kelmarin sewaktu membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia.
Kejadian berlaku ketika Noramfaizul bersama rakan media elektronik lain berada di dalam kenderaan pacuan empat roda menuju ke sebuah pusat komersial untuk menghantar berita.

No comments:

Post a Comment