Pages

Saturday, September 3, 2011

Algeria tak izin Gaddafi masuk

SATU poster menunjukkan foto Gaddafi berkepala botak sebagai lelaki dikehendaki hidup atau mati dilihat di Tripoli, kelmarin.
SATU poster menunjukkan foto Gaddafi berkepala
botak sebagai lelaki dikehendaki
hidup atau mati dilihat di Tripoli, kelmarin.

Pemerintah baru Libya tuntut Algiers serah keluarga bekas pemimpin

ALGIERS: Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menghubungi Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika untuk berunding bagi memasuki negara itu tetapi tidak dilayan selepas isteri, dua anak lelaki dan seorang anak perempuannya berada di negara jiran itu awal minggu ini.
Memetik sumber terdekat dengan presiden Algeria, akhbar El Watan di sini melaporkan Gaddafi dipercayai berada di sempadan Libya-Algeria, pekan yang dikenali sebagai Ghadamis. Lokasinya masih belum diketahui lebih seminggu selepas kejatuhan Tripoli.
Pemimpin tertinggi Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) pula berkata, Gaddafi dipercayai berada di pekan gurun Bani Walid kira-kira 150 kilometer di tenggara Tripoli.

“Gaddafi cuba menghubungi Bouteflika dengan telefon tetapi beliau enggan menerima panggilan itu. Penasihat presiden terpaksa memberi alasan yang beliau tiada dan sibuk dengan pelbagai majlis di Algeria,” lapor El Watan memetik sumber itu dalam laporan laman webnya.

“Ini bukanlah kali pertama Gaddafi dan beberapa pembantunya cuba menghubungi presiden untuk mendapat peluang berunding tetapi Algeria jelas memegang pendirian berkecuali dan kami enggan untuk masuk campur dalam hal dalaman Libya,” katanya.

Tidak jelas bila panggilan itu dibuat tetapi NTC sudah menuntut Algeria menyerahkan anggota keluarga Gaddafi kepada mereka untuk dibicarakan.
Menteri Luar Algeria, Mourad Medelci sebelum ini memberitahu, kerajaan Algeria tidak boleh memberi status pelarian kepada Gaddafi walaupun membenarkan isteri dan anaknya memasuki negara itu.

Bagaimanapun, Mourad berkata Algeria akan mengiktiraf pemimpin baru Libya sebaik mereka menubuhkan kerajaan.

Algeria adalah satu-satunya jiran Libya di Afrika Utara yang belum mengiktiraf NTC yang mengambil alih ibu negara Tripoli dan beberapa bahagian di negara itu mengakhiri pemerintahan selama 42 tahun Gaddafi.

Sementara itu, NTC juga mendedahkan bahawa Perlembagaan baru Libya akan siap lapan bulan sebelum pilihan raya umum diadakan awal 2013.

“Kami sudah ada pelan masa depan dengan waktu peralihan kepada pembentukan kerajaan baru selama 20 bulan,” kata jurucakap NTC, Guma al-Gamaty, kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Di Paris, pemimpin dunia mengumumkan pemulangan AS$15 bilion (RM45 bilion) kepada NTC selepas menamatkan pembekuan aset Libya di luar negara bagi membina semula negara Afrika Utara itu. – Agensi 

No comments:

Post a Comment