Pages

Monday, September 5, 2011

3 beradik harapan keluarga maut

pix_gal0
Dua bakal masuk universiti, mangsa ketiga raih 5A ujian percubaan UPSR



SIMPANG RENGGAM: “Merekalah harapan keluarga saya di masa depan, namun semuanya hilang sekelip mata,” rintih bapa tiga beradik yang terbunuh dalam nahas jalan raya dekat Pekan Yong Peng di sini, awal pagi semalam.
Koperal Patah Raji Muhamad, 50, berkata tiga anaknya yang terbunuh dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam, selepas bercuti di Machang, Kelantan itu, adalah pelajar cemerlang dalam pelajaran masing-masing.
Dalam kemalangan di Kilometer 113.6 Jalan Johor Bahru-Seremban antara Yong Peng dan Labis kira-kira jam 2.45 pagi itu, Ahmad Zakwan, 19, yang memandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua adiknya, Ahmad Zainuddin, 18, dan Ahmad Zarif, 12, meninggal dalam perjalanan ke Hospital Batu Pahat (HBP).

Tiga beradik itu menaiki kereta Perodua Kancil manakala bapa mereka yang juga anggota Cawangan Kereta Peronda (MPV) Balai Polis Simpang Renggam, Kluang, Koperal Patah Raji Muhamad, memandu sebuah lagi kereta bersama isteri, Sopiah Azmi, 48 dan dua lagi anaknya mengekori tidak jauh di belakang.

Patah Raji berkata, Ahmad Zakwan, anak sulungnya sepatutnya mendaftar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini, bagi mengikuti pengajian jurusan bioteknologi manakala Ahmad Zainuddin, sepatutnya berlepas ke Mesir, Selasa ini bagi mengikuti pengajian jurusan sama selepas mendapat tajaan Petronas.

“Mereka menjadi harapan keluarga kerana cemerlang dalam pelajaran masing-masing. Malah anak keempat saya yang turut terkorban dalam kemalangan itu, Ahmad Zarif, 12, memperoleh keputusan 5A dalam percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.
“Saya tidak menyangka kehilangan tiga anak serentak kerana ketika kemalangan berlaku, jarak kereta yang saya pandu bersama isteri, Sopiah Azmi, 48, dan dua lagi anak kami hanya kira-kira 200 meter,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian tiga beradik itu dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama, di sini, selepas solat Zuhur, semalam.

Turut melawat keluarga mangsa di Taman Renggam Jaya termasuk Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Amer Awal.

Bapa saudara tiga beradik terbabit, Mohd Yusuf Stapa, 46, berkata ahli keluarga yang tinggal di Kampung Limau Hantu, Pangkal Meleret, Machang, terkejut dengan khabar mengenai nahas itu.

“Kami dapat tahu selepas solat Subuh pagi ini. Saya sangat terkejut.. tidak sangka mereka yang saya jumpa ketika hari raya di kampung pada Selasa lalu sudah tiada lagi. Saya perasan yang Ahmad Zakwan lebih pendiam sepanjang raya kali ini,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon, berkata kemalangan berlaku apabila Perodua Kancil yang dinaiki tiga beradik terbabit bertembung sebuah Proton Saga dari arah bertentangan.

“Pemandu Proton Saga yang berusia lingkungan 20an yang terbabit dalam kemalangan itu turut mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital sama,” katanya. bharian

No comments:

Post a Comment