Pages

Tuesday, September 13, 2011

182 tentera Bangladesh dipenjara




Gambar yang diambil pada 28 Februari, 2009, merakamkan anggota bomba Bangladesh mengangkat mayat salah seorang pegawai kanan tentera yang ditemui ditanam dalam kubur besar dekat ibu pejabat pasukan Bangladesh Rifles di Dhaka. - AFP


DHAKA 12 Sept. - Sebuah mahkamah Bangladesh hari ini menjatuhkan hukuman penjara ke atas 182 anggota tentera pengawal sempadan setelah didapati bersalah mendalangi pemberontakan bersenjata yang meragut banyak nyawa pada 2009.
Ia sekali gus menjadikan jumlah askar yang dipenjarakan kerana terlibat dalam pemberontakan tersebut melebih 3,000 orang.
Sejumlah pegawai kanan tentera dibunuh dalam pemberontakan itu yang tercetus apabila askar-askar di ibu pejabat Bangladesh Rifles (BDR) di Dhaka bertindak membunuh pegawai tentera dengan sewenang-wenangnya sebelum mencampakkan mayat-mayat mereka ke dalam pembetung dan kubur.
Pendakwa raya negeri, Mosharraf Hossain berkata, mahkamah khas tentera di Dhaka mengumumkan hukuman ke atas 187 tentera pengawal sempadan, dan 182 daripada mereka dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
"Seramai 20 daripada mereka dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan lima yang lain didapati tidak bersalah," katanya.
Pemberontakan tersebut merebak dari pos kawalan BDR di Dhaka ke pos kawalan BDR di seluruh negara, yang mana beribu-ribu anggota tentera pengawal mengangkat senjata untuk menentang pegawai pemerintah masing-masing.
Ia merupakan pemberontakan tentera paling buruk pernah berlaku di negara ini dalam tempoh 40 tahun. - AFP

No comments:

Post a Comment