Pages

Thursday, September 8, 2011

11 maut, 66 cedera letupan di mahkamah


Seorang anggota polis mengangkat seorang wanita yang cedera dalam kejadian letupan bom di Mahkamah Tinggi New Delhi untuk dihantar ke hospital, semalam. - REUTERS



NEW DELHI 7 Sept. - Sekurang-kurangnya 11 orang maut dan 66 lagi cedera apabila sebutir bom meletup di ruang legar yang penuh sesak di pintu masuk ke Mahkamah Tinggi New Delhi, hari ini.
Menteri Dalam Negeri, P. Chidambaram menyifatkan letupan itu sebagai serangan pengganas tetapi kerajaan belum dapat mengenal pasti kumpulan yang mendalanginya.
Polis berkata, bom itu dipercayai diletakkan di dalam sebuah beg bimbit dekat ruang legar di bangunan mahkamah itu di mana berpuluh-puluh penduduk yang ingin mengemukakan petisyen berbaris untuk mendapatkan pas masuk ke kompleks mahkamah di tengah ibu negara India ini.
Bangunan mahkamah dikosongkan, sementara polis menutup seluruh kawasan terlibat dan perkhidmatan kecemasan membawa mangsa yang cedera, sesetengahnya parah, ke hospital.
"Sepuluh orang disahkan terbunuh dan 62 lagi cedera, tetapi kami belum dapat mengesahkan jenis bom yang digunakan," kata jurucakap polis New Delhi, Subinspektor Mohammed Akhlaque.
Letupan itu berlaku pada kira-kira pukul 10.15 pagi (12.45 tengah hari waktu Malaysia).
"Ketika lebih 100 orang berbaris di ruang legar, berlaku satu letupan kuat, dan saya melihat ramai orang terbaring berlumuran darah," kata seorang lelaki yang petisyennya dijadual didengar hari ini, Rahul Gupta.
Kejadian itu merupakan serangan bom maut pertama di India sejak tiga letupan bom di ibu kota kewangan, Mumbai pada 13 Julai lalu yang meragut 26 nyawa, keganasan yang sehingga kini belum dapat diselesaikan.
Serangan hari ini ialah kali kedua Mahkamah Tinggi menjadi sasaran pada tahun ini.
Pada Mei lalu, sebutir bom kecil meletup di tempat letak kereta dekat kafeteria mahkamah tetapi tiada sesiapa yang cedera. - AFP

No comments:

Post a Comment