Pages

Wednesday, August 10, 2011

Tinggal sehelai sepinggang


Norlia Mohd. Zain bersama salah seorang anak perempuanya melihat sisa runtuhan rumah yang disewanya musnah dalam kebakaran di Kampung Lundang, Kota Bharu, semalam. – utusan/YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU 9 Ogos – Seorang ibu tunggal beranak empat di Kampung Lundang dekat sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang disewanya musnah dalam kebakaran hari ini.
Semasa kejadian pukul 6.30 pagi, mangsa, Norlia Mohd. Zain, 43, (gambar) dan seorang anak perempuannya berada di gerai mereka berhampiran Pasar Siti Khadijah untuk menjual kuih raya.
Ketika insiden itu, hanya tinggal dua anak dan ibunya berusia 70 tahun di rumah.
“Kira-kira pukul 4 pagi anak saya, Wan Nor Kashidah Wan Kamaruddin menghubungi saya memaklumkan ada orang di bawah rumah.
“Saya beritahu dia agar jangan tidur, takut ada orang cuba pecah masuk rumah. Tidak lama selepas itu, dia maklumkan rumah terbakar,” katanya dalam nada sebak kerana kehilangan semua harta benda, termasuk bekalan kuih raya untuk dijual berharga kira-kira RM10,000.
Norlia berkata, dia telah menyewa rumah tersebut sejak tujuh tahun lalu dengan bayaran RM150 sebulan.
“Kini saya tak tahu nak duduk mana, baju raya anak-anak pun belum beli lagi. Bekalan kuih raya semua habis, tak sempat balik modal kerana baru semalam mula niaga. Nak niaga lain duit dah tak ada,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Wan Hassan Wan Idris memberitahu, pihaknya menghantar empat jentera termasuk sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim bersama 19 anggota.
“Sejurus tiba di tempat kejadian, rumah kayu terbabit musnah sepenuhnya. Pihak kami mengambil masa kira-kira 15 untuk mengawal kebakaran daripada merebak.
“Kerugian dianggarkan kira-kira RM150,000 dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Wan Hassan turut menasihatkan orang ramai terutama suri rumah supaya berhati-hati dengan aktiviti memasak sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini bagi mengelak musibah.
“Sebelum keluar rumah, sila pastikan semua punca elektrik ditutup sepenuhnya, begitu juga dengan dapur gas untuk mencegah kebakaran,” katanya.-utusan

No comments:

Post a Comment