Pages

Wednesday, August 24, 2011

Tiga beradik maut dalam kolam




DI kolam takungan air inilah mayat tiga beradik diitemui mati lemas di Ladang Lambak/Eliases, Jalan Mengkibol, Kluang kelmarin.


KLUANG - Ibu bapa yang bertengkar anak-anak jadi korban. Demikian kisah malang menimpa tiga beradik yang dipercayai ditolak ke dalam sebuah kolam takungan air oleh bapa mereka di Ladang Lambak/Eliases, Jalan Mengkibol di sini kelmarin.
Tiga mangsa yang menjadi korban bapa sendiri itu hanya dikenali sebagai Niviyah, 5, Relesia, 3, dan Devenish, 2.
Kejadian menyayat hati pada pukul 7.30 malam itu berlaku selepas bapa kepada ketiga-tiga beradik itu membawa mereka ke kolam yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka dengan alasan untuk memancing dan bersiar-siar.
Sebelum itu, suspek yang bekerja sebagai pemandu traktor dikatakan baru lepas bertengkar dengan isterinya.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian menimpa ketiga-tiga beradik itu pada pukul 10.20 malam selepas dihubungi orang awam.
Menurut beliau, polis yang dihantar ke lokasi kejadian melancarkan operasi mencari dan menyelamat selama sejam sebelum menemui mayat ketiga-tiga beradik itu di dasar kolam tersebut.
"Semasa ditemui mayat ketiga-tiga beradik yang berada tidak jauh antara satu sama lain masing-masing lengkap berpakaian," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, polis kemudian menahan bapa kepada ketiga-tiga beradik itu bagi membantu siasatan mengenai kematian anak-anaknya.
"Semasa ditahan suspek yang berusia 29 tahun berada bawah pengaruh alkohol dan dipercayai telah minum racun," katanya lagi.
IBU kepada tiga kanak-kanak yang mati lemas tidak dapat menahan kesedihan kehilangan anak-anaknya serentak.


Suspek kemudian dihantar ke Hospital Kluang dan dia dilaporkan dalam keadaan stabil.
Mohd. Fawzi memberitahu, daripada siasatan awal, suspek pulang ke rumah dan berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku selepas dipercayai menolak ketiga-tiga anaknya masuk ke dalam kolam.
Bagaimanapun, katanya, isteri suspek yang berusia 23 tahun mula curiga apabila melihat suaminya pulang tanpa anak-anak menyebabkan tercetus lagi perang mulut antara pasangan itu sehingga didengari jiran.
Jiran-jiran yang mengesyaki sesuatu buruk berlaku telah menghubungi polis.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh manakala suspek pula direman.
Mayat ketiga-tiga beradik itu dihantar ke Rumah Mayat Hospital Kluang untuk bedah siasat.
Sementara itu, jiran suspek, K. Prakash, 29, berkata, dia terkejut dengan kejadian menimpa ketiga-tiga beradik itu kerana suspek yang dikenalinya merupakan seorang bapa penyayang.
"Sepanjang mengenali keluarga ini, saya tidak pernah melihat suspek memukul atau memarahi anak-anaknya.
"Namun kami selalu dengar pasangan itu bertengkar tetapi kami tidak pernah ambil tahu punca pertengkaran mereka," katanya yang tinggal bersebelahan rumah suspek.-kosmo

No comments:

Post a Comment