Pages

Sunday, August 14, 2011

Taun pula merebak di Somalia



Seorang wanita Somalia memangku anaknya yang menangis kelaparan di khemah penempatan sementara di Mogadishu, kelmarin. - AFP


GENEVA 13 Ogos - Selepas dilanda kemarau dan kebuluran, penduduk Somalia kini terdedah kepada wabak taun yang semakin meluas dengan jumlah kes yang tinggi dicatatkan melibatkan mereka yang melarikan diri ke Mogadishu ekoran kekurangan makanan dan minuman, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Wakil WHO, Dr. Michel Yao semalam berkata. sebanyak 4,272 kes cirit-birit teruk kebanyakannya melibatkan kanak-kanak direkodkan dan 181 orang maut dilaporkan setakat tahun ini di Hospital Banadir, Mogadishu, sahaja.
''Jumlah kes yang dicatatkan berjumlah dua atau tiga kali ganda lebih tinggi berbanding pada tahun lepas. Jadi boleh dikatakan wabak kolera kini semakin tersebar,'' katanya.
Wabak kolera sebelum ini direkodkan berlaku secara bermusim sejak tiga tahun lalu di negara-negara Afrika Timur.
Menurut WHO, wabak kolera kini disahkan melanda beberapa wilayah.
Yao berkata, pergerakan penduduk meningkatkan risiko penyebaran penyakit bawaan air itu.
Wakil agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Adrian Edwards berkata, kira-kira 100,000 orang yang diancam kemarau dan kebuluran di selatan negara ini, melarikan diri ke Mogadishu sejak dua bulan lalu.
Sebelum itu, 370,000 penduduk Somalia telah meninggalkan kampung halaman mereka bagi mencari perlindungan, makanan dan minuman di Mogadishu.
Kira-kira 1,500 rakyat Somalia pergi ke Kenya setiap hari dan kini ditempatkan di 440,000 tempat perlindungan sementara di Dadaab. -Reuters, utusan

No comments:

Post a Comment