Pages

Wednesday, August 10, 2011

' Selamatkan akidah anak saya’


AMIR Alang (dua, kiri) bersama penduduk kampung menunjukkan gambar Idayu yang dilarikan pemuda Indonesia ke Pulau Bali lebih dua tahun yang lalu di Kampung Kenang, Sungai Siput, semalam.

SUNGAI SIPUT 9 Ogos – Seorang bapa Orang Asli merayu kerajaan menyelamatkan anaknya yang dilarikan pemuda Indonesia ke Pulau Sumbawa, Daerah Rhe sejak lebih dua tahun lalu kerana dibimbangi sudah bertukar agama.
Kebimbangan itu timbul apabila melihat gambar-gambar yang dikirimkan oleh anaknya baru-baru ini yang jelas menunjukkan suaminya, Waryan Barta yang berusia lingkungan 20-an ialah penganut Hindu.
Amir Alang, 44, berharap kerajaan dapat membantu membawa pulang anaknya, Idayu, 19, ke pangkuan keluarga sekali gus menyelamatkan akidahnya sebagai penganut agama Islam.
Katanya, dia mendapat tahu Idayu berkahwin dengan lelaki itu sejak setahun lalu dan kini dikurniakan seorang anak.
“Sejak menghilangkan diri lebih dua tahun lalu, Idayu ada menghubungi keluarga sejak akhir-akhir ini dan pernah memberitahu ibunya yang dia sudah tidak tahan lagi dengan sikap suami yang selalu memukulnya.
“Ekoran perubahan sikap suaminya itu, dia selalu menelefon emaknya supaya mencari jalan agar dapat kembali ke tanah air dengan segera. Jika boleh dia mahu pulang sebelum Aidilfitri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kenang, kira-kira 15 kilometer dari sini, hari ini.
Idayu keluar dari rumah pada 5 September 2009 ketika masih belajar di sebuah sekolah menengah di sini dan sejak itu keluarganya tidak memperoleh sebarang berita daripadanya.
Menurut Amir, dia pernah membuat laporan mengenai kehilangan anaknya di Balai Polis Jalong.
Katanya, dia tidak tahu hubungan anaknya dengan lelaki tersebut, namun diberitahu pemuda itu pernah bekerja di Ladang Kamuning tidak jauh dari sini.
Sesiapa yang ingin membantu keluarga Amir boleh menghubunginya di No. 5, Kampung Kenang, Sungai Siput (Utara) atau menghubungi Jawatankuasa Biro Kebajikan Ketua-ketua Kampung Parlimen Sungai Siput di talian 014-6039908.
-utusan

No comments:

Post a Comment