Pages

Friday, August 5, 2011

Sebak lihat bapa dihempap khemah


Saniah Abdul
Saniah Abdul

Saniah fobia niaga di bazar Stadium Jasin

JASIN: “Saya tidak akan pergi lagi ke bazar Ramadan itu, malah semangat untuk berniaga di situ kali ini juga sudah hilang sama sekali kerana masih terkenangkan tragedi menimpa arwah abah," kata Saniah Abdul, yang menyaksikan bapanya, Abdul Omar, 70, terbunuh dihempap palang besi khemah akibat kejadian ribut di perkarangan Stadium Jasin, dekat sini, awal Ramadan tahun lalu.

“Saya masih fobia, sedih dan terkenang lagi tragedi itu. Masih teringat lagi pesanan arwah abah bahawa tahun ini (tahun lalu) adalah tahun terakhirnya berniaga, sebelum duduk termenung berseorangan selepas saya menasihatkan beliau supaya tidak berniaga lagi kerana keadaannya sudah uzur," katanya kepada Berita Harian semalam.
Dalam tragedi menyayat hati pada hari ketiga Ramadan, kira-kira jam 4.40 petang 13 Ogos tahun lalu itu, Abdul dari Batu 16, Kampung Ayer Merbau terbunuh bersama seorang peniaga kuih, Mahadi Mohamad, 40, dan seorang pengunjung, Muhammad Wahab, 49, dari Kampung Rim, selain kejadian itu turut mencederakan 18 orang lain.

Abdul meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala, akibat dihempap palang besi khemah yang diterbangkan ribut, manakala Mahadi meninggal dunia di Hospital Jasin dan Muhammad yang juga cedera di kepala, meninggal dunia di Hospital Melaka kira-kira jam 7 petang.

Bagi Saniah, 48, yang berniaga bersama bapanya ketika kejadian, Ramadan kali ini disambut pilu kerana mereka tujuh beradik kehilangan bapa yang banyak menceriakan kehidupan seharian.

“Setiap kali menyambut Aidilfitri, abah mesti balik ke sini (Kampung Ayer Merbau) untuk bersama kami anak-beranak, walaupun dia menetap bersama emak tiri di Bukit Rambai tetapi ketiadaannya kali ini, sememangnya dirasai.
“Saya memang tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku kepada abah, namun tetap reda dengan pemergiannya. Ketibaan Ramadan ini menyebabkan saya menangis kerana sangat merinduinya.

“Siapa yang mahu kehilangan bapa dalam keadaan seperti itu, malah ia berlaku di depan mata saya," katanya bersama adik kelimanya, Sayang, 43, yang tidak dapat menahan sebak sambil menyekat air mata di pipi sepanjang temubual di kedai makan mereka berhampiran kampung berkenaan, semalam.

Saniah yang sudah berniaga lebih 20 tahun, pada tahun ini memilih berniaga di bazar Ramadan berhampiran Kentucky Fried Chicken Jasin. bharian

No comments:

Post a Comment