Pages

Wednesday, August 10, 2011

‘Saya nak ibu’

pix_gal0
Pelajar trauma, enggan pulang rumah

IPOH: “Saya nak ibu, saya tidak percaya ibu sudah meninggal dunia,” kata Serry Prisila Saari, 15, mangsa kejadian tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, di sini, petang Ahad lalu.

Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah itu yang masih lemah selepas ditarik keluar dari timbunan tanah dalam tragedi itu sukar menerima hakikat pemergian orang tersayang, Sara Gunung, 37. “Memang ada orang bagi tahu ibu sudah meninggal tetapi saya tidak mahu percayakan,” katanya sambil menangis ketika ditemui di Hospital Besar Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.
Dalam kejadian yang meragut tujuh nyawa, Serry Prisila bukan saja kehilangan ibunya malah nenek, Normadiah Lasik, 69, serta empat saudaranya iaitu Jaafar Balad, 48; isterinya, Normah Gunung, 51; anaknya, Mohd Iqbal, 15; menantu, Yusnizan Yusuf, 22.

Seorang lagi yang maut ialah adik Tok Batin Kampung Sungai Ruil yang dikenali sebagai Ali Asan, 50.

Serry Prisila antara dua yang parah selain Bah Anjang Besar Alang, 39.

Ketika kejadian, Serry Prisila sedang mandi dalam bilik air rumahnya sebelum terpelanting keluar dan ditimbus tanah, tetapi bernasib baik apabila diselamatkan penduduk yang melihat jarinya terjulur keluar dari timbunan tanah.
Serry Prisila yang patah kaki kanan dan bahu selain calar dan luka termasuk di kepala serta beberapa anggota badan berkata, dia tidak sedar apa yang berlaku selepas terpelanting keluar dari rumah.

“Apabila sedar saya sudah berada di hospital,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan kembali melihat kawasan rumahnya yang ranap apabila pulih nanti, dia menggelengkan kepala sambil berkata: “Saya tidak mahu kembali ke situ lagi.”

Sementara itu, Bah Anjang yang ditemui di hospital sama berkata, dia tidak akan kembali menetap di kawasan kejadian kerana bimbang kejadian sama berulang.
“Saya memang takut memikirkan kejadian itu dan merancang mencari tempat lain untuk keluarga saya tinggal,” katanya yang patah punggung dan bahu kanan. 

No comments:

Post a Comment