Pages

Sunday, August 28, 2011

‘Raya terakhir’

PASIR PUTEH: “Ma (mak)... ore tok se (saya tidak mahu) dah baju baru dan mungkin raya tahun ni yang terakhir buat diri ore,” kata Syafiq Samsudin, 12, pelajar Sekolah Kebangsaan Tasek Pauh kepada ibunya, Zaleha Mustapha, 36, beberapa hari lalu sebelum terbabit kemalangan di Kampung Tasek Pauh, dekat sini, petang kelmarin.
Lebih menyayat hati, murid tahun enam yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) itu terbunuh bersama rakan karibnya, Mohamad Asyraf Che Mat Nuzim, 14, selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta, jam 5.30 petang.

Difahamkan, sebelum kejadian itu dua rakan terbabit dikatakan dalam perjalanan dari arah Pasir Puteh menuju ke Wakaf Bunut.

Sebaik tiba di Kampung Tasek Pauh, motosikal ditunggangi Mohamad Asyraf yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa membelok ke kanan jalan tanpa menyedari sebuah kereta datang dari arah bertentangan.

Terkejut melihat motosikal dinaiki dua rakan itu masuk ke laluan kanan, pemandu kereta, Nurzulaidy Muhamad, 33, cuba mengelak daripada berlanggar namun gagal.

Kedua-dua rakan terbabit juga cuba mengelak namun gagal, menyebabkan berlaku perlanggaran dengan kereta Kancil dipandu Nurzulaidy.


Akibat perlanggaran itu, Syafiq dan Mohamad Asyraf meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala sebelum mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk bedah siasat.

Zaleha berkata, beberapa hari sebelum kejadian, anak sulung daripada tujuh beradik itu berubah menjadi pendiam, padahal sebelum ini dia periang dan suka mengacau adiknya, terutama ketika berbuka puasa.

Namun, katanya, perubahan paling ketara dilihat ke atas Syafiq ialah ketika hendak membeli sepasang lagi baju baru untuk anaknya, beberapa hari sebelum nahas berlaku.

“Ketika itu kami sekeluarga baru selesai berbuka puasa. Sebaik diajukan pertanyaan itu, Syafiq secara spontan memaklumkan kepada saya, dia tidak mahu lagi baju baru memandangkan Aidilfitri tahun ini yang terakhir buatnya.

“Namun saya tidak mengesyaki apa-apa hinggalah kemalangan berlaku dan apa diperkatakan Syafiq rupa-rupanya petanda awal dia hendak pergi menghadap Ilahi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tasek Pauh, dekat sini, semalam.

Menurutnya, Syafiq anak harapan dalam keluarga, selain murid yang diramal guru sekolah berpotensi mendapat 5A dalam UPSR.

“Dia dan Mohamad Asyraf memang rapat seperti belangkas walaupun usia mereka berbeza dua tahun.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian Syafiq dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi,” katanya hiba.

Jenazah Syafiq dan Mohamad Asyraf dikebumikan di Tanah Perkuburan Tasek Pauh, jam 10.30 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, siasatan kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment