Pages

Saturday, August 6, 2011

Peragut silap sasaran



KUALA TERENGGANU: “Saya minta maaf, ambillah semula gelang ini. Jangan belasah saya,” rayu seorang peragut apabila mendapati wanita yang diragutnya di Bulatan Jalan Sultan Omar di sini, kelmarin, adalah seorang anggota polis.
Namun, lelaki berusia 26 tahun itu cuba melarikan diri, tetapi dikejar anggota polis wanita berkenaan sebelum dia ditahan anggota Pasukan Khas Ragut yang tiba tidak lama selepas itu.

Mangsa, konstabel Siti Hawa Norashid, 25, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu berkata, kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu bermula apabila dia dihampiri suspek yang menunggang sebuah motosikal Yamaha ketika tiba di Jalan Sultan Omar sebelum lelaki itu meragut gelang emas di tangan kanannya.

“Saya yang terkejut dengan kejadian itu, nekad mengejarnya. Pada masa sama, suspek yang hilang kawalan gagal mengawal motosikalnya sebelum dia terbabas dan jatuh.

“Dalam keadaan kakinya yang berdarah, suspek sempat meminta maaf dan memulangkan semula gelang saya. Bagaimanapun, saya sempat bergelut dan memukulnya antara dua hingga tiga kali menggunakan topi keledar,” katanya ketika ditemui di Bulatan Jalan Sultan Omar di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek bertindak meragut gelang emas di tangan kanan mangsa yang menunggang skuter MZ Mosquito sebelum melarikan diri.


Menurutnya, mangsa yang berang mengejar suspek yang melarikan diri ke arah sebuah stesen minyak berhampiran.

“Suspek yang kelam kabut, gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan jatuh sebelum mangsa tiba tidak lama selepas itu.
“Sebaik tiba, mangsa cuba menahan suspek, tetapi lelaki itu yang ketakutan, melarikan diri dengan meninggalkan motosikal dan beg serta gelang emas diragutnya,” katanya di pejabatnya di sini, semalam.

Manoharan berkata, suspek berasal dari Taman Keramat, Kuala Lumpur dan bekerja sebagai pembantu juruukur itu ditahan anggota Pasukan Khas Ragut yang tiba tidak lama selepas itu.

Katanya, suspek yang juga positif dadah kini direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun.hmetro

No comments:

Post a Comment