Pages

Wednesday, August 10, 2011

Obama dakwa warisi masalah hutang AS


BARACK OBAMA memasuki kereta limousin selepas dia menghadiri majlis kutipan derma 
untuk kempen dana Parti Republikan di sebuah kediaman peribadi di Washington kelmarin.


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Presiden AS, Barack Obama semalam menyatakan, beliau 'mewarisi' sebahagian besar masalah negara termasuk hutang dan defisit yang tinggi daripada pentadbiran sebelumnya.
Kenyataan tersebut dilihat bakal menjadi tema kempen Obama untuk pilihan raya Presiden 2012 dalam usaha beliau menerajui AS untuk penggal kedua.
Sebelum Obama menerajui AS, George W. Bush menjadi Presiden AS selama dua penggal.
Bercakap pada satu majlis mengumpul dana Parti Demokrat yang memerlukan setiap keluarga dikenakan bayaran AS$15,000 (RM45,389) untuk bergambar bersamanya di sini, Obama mempertahankan dasar ekonominya dan memaklumkan bahawa masalah ekonomi di Eropah kini menjejaskan AS.
"Kita memang mempunyai masalah serius berkaitan hutang dan defisit yang sebahagian besarnya saya warisi," kata Obama.
Menurutnya, krisis kewangan yang kini melanda Eropah menyebabkan masalah itu menjadi lebih teruk.
Wakil rakyat Parti Demokrat dan Parti Republikan bersetuju untuk meningkatkan kadar siling hutang dan memotong perbelanjaan pentadbiran pada minggu lalu untuk membolehkan AS membayar hutangnya.
Namun, agensi penarafan kredit Standard & Poor tetap menurunkan taraf hutang AS dengan menyebabkan pasaran-pasaran saham utama menjunam kelmarin. - Agensi, kosmo

No comments:

Post a Comment