Pages

Tuesday, August 2, 2011

Meriah sekejap, merana seumur hidup



Foto
MOHD ASRIZAN menggunakan kaki palsu akibat terkena serpihan mercun tahun lalu di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga, Kuala Terengganu.
Mangsa letupan ‘gudang’ mercun kesal, insafi kesilapan Ramadan lalu

KUALA TERENGGANU: “Sampai sekarang, saya menyesal dengan apa yang berlaku hingga saya cacat. Saya menasihatkan jangan sesekali terbabit dengan mercun, sebab meriahnya hanya sekejap tetapi lepas itu, kita boleh merana seumur hidup.
“Apapun, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana masih memberi peluang bernafas dan menginsafi kesilapan lalu. Saya tidak akan mengulanginya kerana sudah kesal dan insaf," kata Mohd Asrizan Muda, 24, yang hancur kaki kanan dalam letupan di rumah tinggal di Kampung Makam Lama, di sini, yang percayai dijadikan gudang menyimpan mercun dan bunga api, awal Ramadan tahun lalu.
Kejadian tragis itu bukan saja menyebabkan kaki kudung selain beberapa kecederaan di anggota badan, tetapi lebih menyayat hati, seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang juga anak rakannya, Khairul Arief Ayub, maut dan mayatnya melambung tersangkut setinggi 15 meter di atas pokok dengan kepalanya hancur. 

Tragedi berdarah pada 12 Ramadan tahun lalu turut mencederakan seorang lagi rakannya, Mazlan Abdullah, 30, yang cedera di mata, muka dan badan selepas stok mercun dan bunga api di rumah tinggal itu meletup sehingga dentumannya boleh didengari sejauh empat kilometer.

Mohd Asrizan yang lebih dikenali sebagai Botak di kalangan penduduk kampung berkata, Ramadan kali ini mengingatkannya dengan kejadian itu yang menyebabkannya koma tiga bulan dan terlantar di hospital, sehingga lehernya ditebuk untuk membolehkannya bernafas kerana keadaannya kritikal ketika itu.

"Selepas sedar daripada koma, saya sedih melihat kaki kanan kudung. Hanya Allah tahu pilunya perasaan saya melihat kaki kanan dipotong bermula dari bawah lutut, selain cedera teruk di kaki kiri. Saya kini, terpaksa menggunakan kaki palsu manakala kaki kiri pula sakit dan tidak boleh berdiri lama kerana buku lali beralih ke tapak kaki. 
"Saya bagaikan mati hidup semula. Walaupun kesal, ia tidak mampu mengubah masa lalu dan berharap, ia menjadi pengajaran kepada orang lain kerana selagi tidak kena, kita tidak serik. 

"Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, pasti ramai menjual dan bermain mercun kononnya memeriahkan perayaan tetapi perlu beringat kerana menyesal kemudian tidak berguna," katanya ditemui di Kampung Seberang Baruh di sini.

Beliau kini banyak membantu ibunya menjahit di rumah sebagai punca pendapatan, selain berbasikal mengelilingi kampung untuk membiasakan pergerakan kakinya. 
http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment