Pages

Friday, August 26, 2011

Maut terbabas dalam parit



ALOR GAJAH - Seorang lelaki ditemui maut dalam keadaan mengiring setelah motosikal yang ditungganginya dipercayai terbabas ke dalam sebuah parit di Jalan Man Lok, Kuala Sungai Baru menuju ke Ayer Molek, di sini, pagi kelmarin.

Mayat mangsa, Tey Kim Siang, 52, ditemui orang awam yang kebetulan melalui jalan terbabit kira-kira jam 7.30 pagi selepas menyedari terdapat sebuah motosikal dalam keadaan terbalik di dalam parit berkenaan.

Mangsa yang masih bujang tinggal menumpang di sebuah rumah di Kampung Ayer Molek, Kuala Sungai Baru, bersama rakan lain dipercayai terbabas sebaik melalui selekoh sebelum melanggar tebing jalan dan terhumban masuk ke dalam parit.

Saksi yang dikenali sebagai Kamal, 30-an, berkata, dia memberhentikan kenderaannya untuk memeriksa secara dekat sebaik melihat motosikal tersebut.

“Saya terus menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan kecemasan tetapi sebaik menjengah ke dalam parit, saya lihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah pada mukanya dan sudah kaku pucat,” katanya.

Menurut rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, malam sebelum kejadian mangsa dikatakan keluar bersama rakan lain dengan meninggalkan motosikal jenis Yamaha di pekan Kuala Sungai Baru dan menumpang kenderaan rakan lain.

“Malam tadi dia ada keluar bersama rakan-rakannya tetapi motosikal ditinggalkan di pekan untuk menumpang kenderaan rakannya dan sekitar jam 2 pagi dia terus mengambil motosikalnya, tak pasti sama ada dia terus pulang atau ada ke tempat lain.

“Laluan ini memang gelap dan sunyi apatah lagi mangsa dan motosikalnya sudah terhumban ke dalam parit pasti sukar disedari sesiapa yang melalui jalan ini pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Umar Ali Saifuddin Shaharudin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sendiri, dipercayai terbabas sebelum melanggar tebing jalan dan terhumban masuk ke dalam parit bersama motosikalnya.SH

No comments:

Post a Comment