Pages

Wednesday, August 24, 2011

Keselamatan mangsa culik terancam



Oleh Meor Hisham Zulkifli

2011/08/24

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada Mohd Nazarrudin Saidin, yang sudah lebih tiga bulan ditahan kumpulan pemisah di selatan Filipina, amat khuatir dengan keselamatannya ekoran tindakan tentera Filipina melancarkan gerakan besar-besaran memburu kumpulan Abu Sayyaf sejak tiga minggu lalu. 

Adik Mohd Nazarrudin, Mohd Lukman, berkata laporan berita sejak beberapa minggu berhubung keganasan memuncak di selatan Filipina termasuk di Pulau Jolo, tempat abangnya disyaki disembunyikan, amat membimbangkan keluarganya.
“Emak semakin kerap sakit selepas Mohd Nazarrudin diculik, kini ditambah lagi dengan berita operasi tentera di sana,” katanya kepada Berita Harian semalam.
Mohd Nazarrudin diculik kumpulan 10 lelaki disyaki serpihan kumpulan Abu Sayyaf pada 8 Mei lalu ketika mengunjungi Pulau Jolo bagi mencari cicak tokek, haiwan yang dikatakan ditawarkan pada harga tinggi di pasaran gelap. 

Bapa enam anak itu yang berhenti kerja semata-mata memburu kekayaan sekelip mata, dilaporkan sakit ketika dalam tahanan, meningkatkan lagi kebimbangan terhadap keadaan dan keselamatannya. 

Berita Harian sebelum ini berjaya menyelamatkan rakan Mohd Nazarrudin yang bertindak selaku penterjemah beliau, Mohd Ghafar Akirulla, selepas warga tua itu dibiarkan sehelai sepinggang terkapai-kapai di Zamboanga dengan pasport dan wang tunainya turut dicuri. 

Laporan berita di Filipina sejak beberapa hari lalu turut mengesahkan operasi besar-besaran dilancarkan di Pulau Jolo selepas berapa tentera disembelih kumpulan Abu Sayyaf, serangan bom, beberapa pembunuhan bermotif politik, selain peningkatan kes penculikan termasuk yang terbaru membabitkan dua penjual kain terpakai diculik kelmarin. 
Lukman berkata, usahanya bersama keluarga menghubungi kumpulan yang menahan Mohd Nazarrudin menggunakan telefon bimbit turut gagal disebabkan pihak keselamatan mematikan talian ke menara pemancar telekomunikasi di kawasan itu. 

“Saya ada bercakap dengan penculik dan abang saya baru-baru ini tetapi terlalu sekejap. Kumpulan itu menyatakan mereka tidak dapat berhubung disebabkan masalah talian telefon,” katanya. 

Katanya, disebabkan masalah telekomunikasi itu, keluarganya mengharapkan bantuan pemimpin tempatan terutama Kesultanan Sulu bagi menjadi orang tengah menyalurkan maklumat kepada Mohd Nazarrudin. 

“Dalam keadaan sekarang, pasti sukar untuk sesiapa saja di sini tampil membantu. Masalah komunikasi perkara utama dan disebabkan itu, kami sekeluarga berharap Sultan Sulu yang dianggap lebih berpengaruh daripada pemimpin politik dan kerajaan, tampil membantu,” katanya. -kosmo

No comments:

Post a Comment