NIBONG TEBAL 19 Ogos — Polis mencari seorang pemilik salun kecantikan di Simpang Ampat, di sini bagi membantu siasatan berhubung penipuan terhadap sekumpulan suri rumah dan warga tua yang kerugian lebih RM500,000 selepas menyertai skim pelaburan emas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, wanita berkenaan dikenali sebagai Hashimah Hashim, 38, yang alamat terakhirnya di Taman Merak Jaya, Simpang Ampat di sini.
"Kami menerima laporan polis berhubung kejadian itu, polis giat mengesan wanita berkenaan bagi membantu menyelesaikan kes penipuan membabitkan lebih 30 suri rumah serta warga tua.
"Kami juga pergi ke rumahnya, tetapi suaminya memberitahu tidak mengetahui di mana isterinya (Hashimah) berada kerana dia menghilangkan diri sejak Julai lepas," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan menjalankan skim pelaburan emas itu sejak tiga tahun lepas.
"Kumpulan pelabur tertarik untuk melabur apabila dia menjanjikan pulangan lumayan antara lima hingga 10 peratus sebulan, sekali gus mendorong mereka melabur RM5,000 hingga RM50,000.
"Bagaimanapun, sejak Julai lepas, wanita berkenaan gagal membayar dividen yang dijanjikan dan menghilangkan diri sehingga gagal dikesan oleh pelaburnya," katanya.
Shafien meminta orang ramai yang mengenali Hashimah agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — BERNAMA, utusan
No comments:
Post a Comment