Pages

Thursday, August 4, 2011

Ghaib 9 bulan

ALOR SETAR: “Sekarang dah Ramadan, tidak lama lagi Aidilfitri bakal menjelma, tetapi anak saya masih tidak pulang-pulang,” kata Sarimah Othman, 40, mengenai anak perempuan tunggalnya, Norsyakila Saad, 16, yang menghilangkan diri sejak November lalu.
Beliau bimbang kerana anaknya hanya keluar sehelai sepinggang dan langsung tidak boleh dihubungi kerana tidak memiliki telefon bimbit.

Menurutnya, Norsyakilla sepatutnya belajar di tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum, Jitra, tetapi kini dia seperti tidak lagi mempedulikan persekolahannya disebabkan tidak pernah hadir ke sekolah.

Katanya, anaknya dipercayai meninggalkan rumah mereka di Kampung Alor Ganu, Kepala Batas, dekat sini, kira-kira jam 7 malam pada 12 November tahun lalu, sehingga kini gagal dikesan.

“Waktu itu, saya sedang bekerja di kedai makan berhampiran rumah dan Norsyakilla turut membantu. Dia kemudian memberitahu mahu pulang ke rumah, tetapi terus menghilangkan diri sehingga hari ini,” katanya.

Katanya, anaknya sebelum ini kerap menghilangkan diri dan Mei tahun lalu, lari dari rumah selama tiga minggu sebelum ditemui bapa saudaranya di Terminal Bas Shahab Perdana, dekat sini.


“Dia tidak ada masalah dengan kami, itu yang buat saya pelik. Namun setahu saya dia suka melepak di rumah kawan-kawan dan kadang-kadang sehingga tidak pulang,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kepala Batas sebulan selepas kehilangan anaknya itu.

Ditanya mengapa lambat membuat laporan, Sarimah berkata, dia tidak menyangka anaknya tidak pulang kerana setiap kali keluar dari rumah, dia tetap pulang.

Sarimah meminta sesiapa yang mengenali anaknya diminta menghubungi adik iparnya, Ahmad Basir Che An di talian 017-5196319.

No comments:

Post a Comment