Pages

Thursday, August 25, 2011

Gempa landa AS

WASHINGTON: Satu gempa bumi yang kuat dan jarang berlaku telah menggegarkan bahagian timur Amerika Syarikat, meruntuhkan beberapa bangunan tua dan menyebabkan orang ramai bertempiaran ke jalan. Tapi tiada kematian dilaporkan.
Menurut laporan Informasi Gempa Bumi Nasional, gegaran 5.8 skala Richter yang berlaku pada jam 1.51pm (1751 GMT) semalam selama 20-30 saat, berpusat enam kilometer di bawah pusat bandar Mineral di Virginia yang terletak 134 kilometer selatan barat daya ibu negara.
Kawasan pinggir laut di timur Amerika Syarikat jarang mengalami gempa bumi yang kuat, dan kali ini gegaran itu dirasai ke utara hingga ke Boston dan bahagian timur Kanada. Di selatan pula, ia dirasai di Alabama dan di barat, hingga ke Indiana dan Michigan.

Gempa bumi ini juga yang paling kuat di Virginia sejak Mei 1897, apabila satu gegaran 5.9 skala Richter menggegarkan kawasan barat negara ini.
Ramai pekerja yang terpinga-pinga dan takut kejadian yang tidak diingini berlaku. Meja mereka bergoyang kiri dan kanan dan siling serta dinding bergegar kuat.

Bagi penduduk di wilayah yang masih mengalami trauma serangan 11 September dan ulangtahun ke-10 serangan al-Qaedah itu tidak lama lagi, ramai menyangka gegaran yang berlaku itu adalah serangan pengganas lalu mereka bertempiaran lari menuruni tangga menuju ke taman dan jalan raya. - AFP, hmetro

No comments:

Post a Comment